Raptai penuh pastikan kelancaran majlis

5 Nov 2026 - 7:53am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Rabu, 4 November. - Raptai penuh bagi Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026 telah diadakan hari ini sebagai persediaan bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 7 November 2026, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Majlis Ilmu pada tahun ini membawa tema ‘Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara’, yang mencerminkan kepentingan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai asas dalam memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam.

Hadir semasa raptai penuh tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Raptai penuh berkenaan diadakan bagi menyelaraskan perjalanan atur cara majlis, termasuk aspek protokol, pergerakan tetamu kehormat serta persiapan teknikal dan pengurusan bagi memastikan setiap pengisian majlis dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar.

Sambutan Majlis Ilmu dihasratkan akan terus menjadi wadah untuk memperkukuh penghayatan falsafah MIB serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, selaras dengan usaha memelihara kedaulatan dan identiti negara.