Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Lebih 200 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, pengamal industri kewangan, ahli akademik dan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan serta antarabangsa menghadiri Simposium Brunei Darussalam Islamic Finance (BDIF) 2026, bertemakan ‘Innovating Sukuk for Sustainable and Inclusive Growth’.
Simposium yang diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah tersebut dianjurkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), International Islamic University Malaysia (IIUM), INCEIF University, dan Perbanas Institute sebagai penganjur bersama bagi inisiatif Call-for-Papers (CFP) kali ketiga, manakala Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF) sebagai rakan kongsi simposium.
Simposium berkenaan merupakan platform untuk membincangkan perkembangan landskap kewangan Islam, dengan mengetengahkan perkembangan terkini, cabaran, dan peluang dalam bidang industri berkenaan.
Simposium itu juga bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara pengamal industri, ahli akademik dan sektor awam melalui perkongsian pengetahuan, penyelidikan akademik serta penyediaan peluang bagi penyelidikan, penerbitan dan pengiktirafan hasil kajian.
Hadir ke simposium tersebut ialah Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDCB dan Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah (LPKS), pegawai-pegawai kanan kerajaan, BDCB dan institusi-institusi kewangan, serta peserta-peserta CFP.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili.
Pengarah Urusan BDCB, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu, dalam ucapan alu-aluannya mengetengahkan pertumbuhan berterusan sektor kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) serta peranan penting sukuk dalam menyokong pelaburan produktif dan pembangunan ekonomi yang mampan.
Beliau turut menekankan usaha berterusan BDCB dalam memperkukuh pasaran modal domestik, termasuk langkah-langkah untuk memudah cara penerbitan sukuk korporat, di samping mengetengahkan potensi sukuk runcit dan inovasi digital dalam memperluas penyertaan pelabur serta meningkatkan capaian kepada pasaran modal.
Dayang Hajah Rashidah turut mengalu-alukan peningkatan penyertaan antarabangsa dalam BDIF CFP, dengan jumlah penghantaran kertas penyelidikan penuh meningkat daripada 29 pada 2025 kepada 43 pada 2026.
Rektor UNISSA dan Pengarah Urusan BDCB kemudian merasmikan pelancaran edisi ketiga Islamic Economics International Refereed Journal, diterbitkan sebagai edisi khas (Vol. 4, No. 1, November 2026), yang menampilkan kertas-kertas penyelidikan terpilih daripada inisiatif CFP 2026.
Jurnal tersebut mengetengahkan sumbangan penyelidikan daripada ahli akademik, pengamal industri dan penuntut mengenai perkembangan utama dalam kewangan Islam, sekali gus menekankan kepentingan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam memajukan industri kewangan Islam.
Simposium turut mengiktiraf sumbangan penyelidikan yang cemerlang melalui Majlis Penyampaian Anugerah Kertas Terbaik.
Anugerah Kertas Terbaik (Kategori Profesional) diraih oleh Assistant Professor Ima Dwitawati dari Republik Indonesia bagi kertas bertajuk ‘Digital Halal Ecosystem as a Foundation for Sustainable Sukuk Innovation and MSMEs Inclusivity’.
Sementara itu, Anugerah Kertas Terbaik (Kategori Penuntut) pula dimenangi oleh Ratu Shaima binti Yumni dari Malaysia bagi kertas bertajuk ‘Mobilising Shariah-Compliant Capital for Carbon Capture : A Maqasid-Based Framework for Transition Finance in Hydrocarbon-Dependent Emerging Markets’.
Tiga kertas penyelidikan terbaik daripada setiap kategori juga telah dibentangkan, sekali gus menyediakan platform kepada para peserta untuk berkongsi hasil penyelidikan dan pandangan masing-masing.
Seterusnya, majlis menampilkan pembentangan ucaptama oleh Lead Researcher for the Centre of Excellence in Social Finance dan Head of Online Programs di INCEIF University, Malaysia, Associate Professor Dr. Ziyaad Mahomed, bertajuk ‘Positioning Sukuk as a Strategic Enabler of Islamic Finance Development’.
Simposium turut menampilkan sesi perbincangan panel bertajuk ‘The Evolving Sukuk Market : International Insights and Opportunties for Brunei Darussalam’ yang dikendalikan oleh Ketua Ekonomi dan Pengawasan, BDCB, Dayang Hajah Nurhuaida Fakhriah binti Haji Damit, selaku Moderator.
Ahli-ahli panel terkemuka terdiri daripada Timbalan Pengarah (Islamic Capital Market) dan Ketua Bahagian Shariah, Securities Commission Malaysia, Dr. Azrul Azlan Iskandar Mirza; Pengarah Islamic Wholesale Banking, CIMB Islamic Bank, Malaysia, Dr. Ayaz Ismail; Pengarah Urusan, BIBD Securities Sdn. Bhd., Jason Wong; dan Associate Professor Dr. Ziyaad Mahomed.
Sesi tersebut mengetengahkan pandangan mengenai masa hadapan sukuk, perkembangan pasaran serantau serta peluang bagi NBD, termasuk aspek kesediaan rangka kerja kawal selia, pasaran dan ekosistem yang diperlukan bagi menyokong pembangunan pasaran sukuk yang dinamik dan mampan.
Selaras dengan tema simposium, sesi pembentangan kertas penyelidikan akan diadakan pada sebelah petang pada 18 November 2026 dan diteruskan pada 19 November 2026.
Sesi-sesi berkenaan akan memberi peluang kepada para peserta untuk mendalami isu-isu utama dalam bidang kewangan Islam melalui perbincangan dan perkongsian pandangan yang lebih menyeluruh.