Penyampaian pingat Piala Bola Jaring Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam

22 Nov 2026 - 6:35am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, Sabtu, 21 November. - Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Masna (SMPAPM) muncul juara Piala Bola Jaring Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam Tahun 2026 selepas menewaskan Sekolah Menengah Tanjong Maya dengan keputusan 7 - 5.

Sekolah Menengah Tanjong Maya terpaksa berpuas hati di tempat kedua selaku naib juara, manakala tempat ketiga dikongsi bersama oleh Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS).

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan tersebut berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.

Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam (BNA) itu disertai seramai 276 pelajar berumur 17 tahun dan ke bawah dari 23 buah sekolah menengah dan maktab kerajaan serta swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kejohanan berlangsung selama lima hari, iaitu pada 26 dan 27 Ogos serta 18, 19 dan 21 November 2026.

Antara matlamat kejohanan berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar dalam sukan bola jaring secara berterusan di peringkat sekolah dan negara, di samping mengenal pasti pemain berpotensi untuk diserapkan ke dalam Program Latihan Pusat Centre of Training (COT) di keempat-empat daerah.

Selain itu, kejohanan tersebut bertujuan menyediakan atlet berpotensi untuk mewakili Pasukan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) dalam kejohanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Penganjurannya juga dihasratkan dapat mencungkil bakat pelajar, meningkatkan pencapaian dalam Program Sahsiah Pelajar (PSP) serta memupuk nilai disiplin, daya tahan, kepimpinan dan semangat berpasukan melalui aktiviti sukan.