Penurunan Bendera NBD di Daerah Tutong

9 Og 2026 - 7:03am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TUTONG, Sabtu 8 Ogos. - Upacara Penurunan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 Peringkat Daerah Tutong berlangsung di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri. Turut hadir, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan Pemangku Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ketua Imam Masjid Kampung Lamunin, Awang Abd. Wafi bin Haji Awang.

Upacara tersebut diteruskan dengan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan Upacara Menurunkan Bendera NBD oleh Pasukan Polis Diraja Brunei. Upacara Penurunan Bendera NBD ini menandakan berakhirnya pengibaran bendera bagi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.