Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) melalui Unit Sukatan dan Timbangan, dalam siri kempen berterusan terhadap kesedaran ‘Sukatan Tepat, Perniagaan Adil’ (Measure Right, Fair Trade) yang telah dilancarkan pada 9 November 2026 ingin mengingatkan para peniaga dan syarikat perdagangan untuk memastikan semua alat sukat dan timbang perdagangan di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah tepat dan disahkan selaras dengan Akta Timbangan dan Sukatan (Penggal 151), bagi melindungi pengguna daripada amalan perdagangan tidak adil serta memupuk persaingan sihat dalam sektor komersial dan eksport.
Selaras dengan Peraturan-peraturan Timbangan dan Sukatan (Pengesahan), 1994, semua alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi perdagangan perlu disahkan dan dicap rasmi oleh pemeriksa Unit Sukatan dan Timbangan di KEPI.
Keperluan berkenaan merangkumi peralatan yang digunakan di kedai, tamu, stesen minyak dan sektor perindustrian, seperti alat ‘neraca spring’ dan penimbang elektronik (sehingga 200 kilogram-kg), ‘dacing’ emas, alat sukat panjang, batu timbang dan pemberat ujian, pam minyak, alat sukat cecair, meter aliran serta mesin penimbang lain termasuk jambatan timbang (weighbridges).
Sehubungan itu, para peniaga diperlukan untuk mengisytiharkan alat timbangan dan sukatan yang digunakan untuk perdagangan sebelum 1 Januari 2027 melalui kod QR pada poster kempen atau Instagram rasmi kementerian ‘@meti_brunei’, melalui e-mel ke ‘sdt@meti.gov.bn’, atau hadir ke kaunter Unit Sukatan dan Timbangan di cawangan pejabat semua daerah.
Pada masa yang sama, unit berkenaan akan menjalankan lawatan pemeriksaan secara berperingkat ke premis perniagaan serta menganjurkan sesi taklimat bersama persatuan-persatuan industri.
Orang ramai dan peniaga yang mempunyai keraguan, boleh menyalurkan sebarang aduan mengenai ketepatan alat timbangan atau sukat melalui e-mel di ‘sdt@meti.gov.bn’. Pihak kementerian mengingatkan bahawa penggunaan atau penyimpanan alat timbangan dan sukatan yang tidak dicap bagi tujuan perdagangan adalah satu kesalahan yang membawa hukuman denda BND1,000, penjara selama tiga bulan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Alat tersebut juga boleh disita, dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan yang dibuat menggunakan alat tersebut adalah tidak sah.
Sementara itu, di bawah seksyen 11, Akta Timbangan dan Sukatan (Penggal 151), menggunakan atau menyimpan untuk kegunaan dagangan sebarang alat timbangan atau sukatan yang palsu atau tidak tepat adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak BND1,000 dan penjara selama enam bulan, dan alat tersebut boleh disita.