Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
BERAKAS, Rabu, 18 November. – Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) hari ini menerima kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Republik Singapura sempena program MOELC Malay Special Programme Secondary 3 Study-cum-Immersion Programme, Singapore.
Rombongan yang diketuai oleh Azyanti Mohamed Mudakir berkenaan terdiri daripada 10 pelajar bersama dua guru pengiring.
Lawatan berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam (NBD), di samping memperkenalkan budaya serta warisan tempatan.
Program tersebut juga menjadi platform bagi meningkatkan kemahiran komunikasi lisan dan penulisan Bahasa Melayu dalam kalangan peserta daripada kedua-dua buah negara melalui pertukaran pendidikan dan budaya.
Selain menggalakkan perkongsian idea serta pengalaman antara guru dan pelajar, program berkenaan turut berperanan dalam mengeratkan hubungan persahabatan, meningkatkan persefahaman serta memperkukuh penghargaan terhadap persamaan dan kepelbagaian budaya Melayu di rantau ini.
Ketibaan rombongan di SM YSHHB telah disambut dengan persembahan tarian tradisional di ruang legar pintu masuk utama sekolah sebelum rombongan dibawa ke Dewan Kuliah bagi mengikuti acara seterusnya.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, diikuti taklimat yang disampaikan oleh Pengetua SM YSHHB, Dayang Sarimah binti Haji Lusin.
Majlis turut diserikan dengan ucapan ringkas daripada ketua delegasi Republik Singapura serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan.
Rombongan seterusnya mengadakan sesi pembentangan sebelum dibawa melawat ke kawasan sekolah bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan dan fasiliti yang disediakan.
Antara pengisian utama lawatan ialah sesi pemerhatian pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang memberi peluang kepada para peserta untuk menyaksikan sendiri pelaksanaan pembelajaran di dalam bilik darjah, sekali gus berkongsi pengalaman dan pendekatan pendidikan.
Para peserta turut berpeluang mengenali warisan makanan dan permainan tradisional NBD menerusi pameran yang diadakan di ruang legar sekolah.
Pameran berkenaan mengetengahkan pelbagai makanan tradisional, termasuk makanan kering dan ambuyat, selain permainan tradisional Pasang bagi memberikan pengalaman secara langsung kepada delegasi mengenai keunikan budaya dan warisan tempatan.
Lawatan seumpama berkenaan diharap akan terus menjadi wadah dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan budaya antara NBD dengan Republik Singapura, khususnya dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu serta memupuk persefahaman dalam kalangan generasi muda kedua-dua buah negara.