Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Dalam menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha mencapai Wawasan Brunei 2035, pelaksanaan perlu terus diperkukuhkan melalui pendekatan yang memberi tumpuan kepada hasil dan kesan sebenar.
Perkara ini antara yang disampaikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
“Kita perlu melihat bukan hanya kepada apa yang telah dilaksanakan, tetapi juga kepada apa yang telah berjaya dicapai. Bukan hanya berapa banyak program telah dilaksanakan, tetapi apakah perubahan yang telah berlaku.
“Bukan hanya berapa ramai yang menghadiri latihan, tetapi sejauh mana mereka berjaya meningkatkan kemahiran dan memperoleh peluang pekerjaan. Bukan hanya berapa banyak projek telah disiapkan, tetapi sejauh mana projek tersebut meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. Dan bukan hanya berapa banyak peruntukan telah dibelanjakan, tetapi apakah nilai, keberkesanan dan manfaat yang diperoleh oleh negara,” ujar Yang Berhormat.
Oleh itu, jelas Yang Berhormat, pendekatan berasaskan hasil atau Outcome-Based Approach perlu terus diperkukuhkan dan setiap kementerian dan agensi hendaklah mempunyai sasaran yang jelas serta mengukur pencapaian berdasarkan kesan dan manfaat yang ingin dicapai. Dengan cara ini, perancangan dan peruntukan negara dapat digunakan secara lebih cekap, berhemah dan memberi nilai yang lebih tinggi kepada rakyat.
Memandangkan tahun 2035 semakin menghampiri, penyelarasan dan pelaksanaan hendaklah terus diperkukuhkan melalui tindakan yang jelas, tersusun, dapat dipantau serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi, perkembangan teknologi dan keperluan masyarakat. Kemajuan negara yang dihasratkan melalui Wawasan Brunei 2035 hendaklah bersifat seimbang, menyeluruh dan berpaksikan nilai, ujar Yang Berhormat.
“Kita mahu rakyat yang berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai akhlak dan jati diri. Kita mahu ekonomi yang berkembang, tetapi juga berdaya tahan serta memberi peluang kepada rakyat. Kita mahu teknologi yang maju, tetapi digunakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
“Kita mahu pembangunan yang pesat, tetapi tetap menjaga alam sekitar serta kesejahteraan generasi akan datang. Dan kita mahu perkhidmatan kerajaan yang cekap, mudah diakses serta benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” jelas Yang Berhormat.
Sebagai rumusan tekan Yang Berhormat, sokongan terhadap usul ini hendaklah diterjemahkan melalui tindakan yang bersepadu.
Kongsi Yang Berhormat, pertama, memperkukuh pendidikan dan kemahiran masa hadapan dan kedua, meningkatkan kebolehpasaran, produktiviti dan peluang pekerjaan.
Manakala, perkara ketiga tambah Yang Berhormat ialah mempercepat transformasi digital secara selamat, beretika dan berkesan dan keempat, memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi melalui pendekatan Whole of Government.
Perkara kelima ialah memastikan perancangan, program dan peruntukan memberi tumpuan kepada hasil, keenam ialah memperkukuh ekonomi dan perusahaan tempatan, Ketujuh, memperkasakan mukim, kampung dan masyarakat melalui pendekatan Whole of Nation dan kelapan, memastikan kemajuan negara memberi manfaat yang nyata dan berterusan kepada seluruh rakyat, ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan dengan menjadikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai panduan, setiap dasar hendaklah diterjemahkan kepada tindakan, setiap tindakan hendaklah mempunyai sasaran dan ukuran, dan setiap hasil hendaklah memberi manfaat kepada rakyat serta negara.
“Semoga dengan kepimpinan dan pimpinan Kebawah DYMM, kerjasama seluruh jentera kerajaan serta penyertaan rakyat, Negara Brunei Darussalam akan terus maju, aman, makmur, berdaya tahan dan sentiasa mendapat rahmat serta keberkatan Allah Subhanahu Wata’ala,” ujar Yang Berhormat.