Pembukaan Second Echelon Brunei-Singapore CSEP Ke-24

17 Nov 2026 - 5:24am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TUNGKU, Isnin, 16 November. - Second Echelon Brunei-Singapore Civil Service Exchange Programme (CSEP) Kali Ke-24 secara rasminya telah bermula hari ini dengan berlangsungnya Majlis Pembukaan di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba, Gadong.

Majlis yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Raffizanna bin Pengiran Haji Razali mengalu-alukan kehadiran seramai 22 pegawai kanan daripada Perkhidmatan Awam Singapura dan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Delegasi kedua-dua buah negara masing-masing diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Sport Singapore, Alan Goh dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.

Terdahulu, Pengiran Haji Raffizanna dalam ucapannya menyatakan bahawa antara kelebihan hubungan kerjasama yang telah terjalin sekian lama ialah peluang untuk saling mempelajari bukan sahaja daripada kejayaan masing-masing, malah daripada pengalaman serta pertimbangan berbeza yang telah membentuk pendekatan setiap pihak.

"Melalui pertukaran pengalaman dan pandangan tersebut, kita dapat memahami dengan lebih mendalam pendekatan yang diambil oleh negara masing-masing, pertimbangan di sebaliknya serta pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan tersebut.

"Perbezaan perspektif ini juga mampu memberikan pandangan baharu terhadap cabaran yang sering dihadapi, di samping membuka ruang untuk kita menilai dan mempertingkatkan lagi amalan serta pendekatan yang dilaksanakan," ujar beliau.

Sepanjang tempoh empat hari akan datang, tambahnya, program ini akan menyediakan peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa bidang pembangunan negara dan pentadbiran awam.

Ini termasuk pembangunan negara yang inklusif dan berdaya tahan, berpandukan aspirasi NBD di bawah Wawasan Brunei 2035; kepelbagaian ekonomi dan kemampanan, termasuk penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam keutamaan negara serta transformasi digital khususnya peranan teknologi, data dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan penyampaian Perkhidmatan Awam.

Walaupun bidang-bidang ini terang beliau lagi, merangkumi aspek pembangunan negara yang berbeza, namun kesemuanya saling berkait rapat dengan satu matlamat yang sama iaitu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat yang kita berkhidmat untuknya.

Pengiran Haji Raffizanna seterusnya melahirkan harapan, agar sesi-sesi yang diadakan akan menjadi titik permulaan yang bermanfaat bagi perbincangan, di samping memberi ruang kepada kedua-dua delegasi untuk berkongsi pengalaman, bertukar-tukar pandangan mengenai pendekatan yang telah dilaksanakan serta meneliti pengajaran yang boleh dibawa pulang dan dimanfaatkan oleh organisasi masing-masing.

Pada tahun ini, program tersebut dianjurkan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), NBD selama empat hari bermula 16 hingga 19 November 2026. Berteraskan tema 'Charting Our Future Together' program ini memberikan tumpuan kepada beberapa teras strategik utama, termasuk kepelbagaian ekonomi, transformasi digital, penyelarasan dasar SDGs serta pembinaan masyarakat yang inklusif dan berdaya tahan.

Sepanjang empat hari program berlangsung, para delegasi akan mengikuti pelbagai pengisian yang komprehensif merangkumi taklimat strategik dan sesi perbincangan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk daripada JPM, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), KKBS, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) serta Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

Dianjurkan secara bersama oleh IPA, NBD dan Civil Service College (CSC), Republik Singapura, CSEP telah dilaksanakan pada setiap tahun sejak mula diperkenalkan pada tahun 2002. Program ini terus menjadi platform dua hala yang penting bagi pemimpin Second Echelon untuk memperkukuh jaringan profesional, berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan tadbir urus serta mempererat hubungan kerjasama yang sedia terjalin antara NBD dan Republik Singapura.

Pada tahun hadapan, CSC, Republik Singapura akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran CSEP Kali Ke-25 yang akan berlangsung di Republik Singapura.