Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kemudahan asas seperti bekalan air yang stabil, sistem saliran yang berfungsi, jalan raya yang selamat, perumahan yang mampu milik dan aset awam yang berkualiti bukan sahaja menjamin kehidupan rakyat yang selesa, malah adalah syarat utama bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong produktiviti sektor perniagaan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ulasan mengenai keutamaan kedua iaitu menyediakan asas yang berdaya tahan dan efisien pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dalam memperkukuhkan kapasiti dan sekuriti bekalan air negara jelas Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perkhidmatan Air akan terus memperkukuhkan kapasiti sistem bekalan air negara bagi memastikan bekalan air yang mencukupi, berdaya tahan dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi negara.
Hasil pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur air, kapasiti pengeluaran air bersih negara kini telah mencapai 587.6 juta liter sehari (MLD) dan kapasiti tersebut dijangka meningkat kepada 776.1 MLD menjelang tahun 2035 dengan siapnya beberapa projek strategik di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN), terang Yang Berhormat.
Daripada kapasiti yang diperuntukkan bagi sektor industri, sebanyak 190.3 MLD telah dikenal pasti untuk memenuhi keperluan pembangunan sektor-sektor ekonomi utama, meliputi sektor pertanian sebanyak 184 MLD, Pure Salmon Sdn. Bhd. Sebanyak 3 MLD, UNN Data Centre sebanyak dua MLD, Pulau Muara Besar sebanyak 0.9 MLD dan Muara Port Company Sdn. Bhd. sebanyak 0.4 MLD.
“Projek-projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah RKN, antaranya ialah Pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Barun Stage 8 berkapasiti 120 MLD, yang dijangka siap pada tahun 2029; Penaiktarafan Loji Rawatan Air Agis-Agis berkapasiti 36 MLD, yang dijangka siap pada tahun 2028; Pengaktifan semula Loji Rawatan Air Tasek Lama berkapasiti 7 MLD sebagai sumber bekalan alternatif bagi kawasan Bandar Seri Begawan; Penaiktarafan Loji Rawatan Air Batang Duri kepada kapasiti 20 MLD; dan Penaiktarafan Loji Rawatan Air Sumbiling berkapasiti 5.5 MLD bagi menyokong pertumbuhan permintaan di Daerah Temburong,” jelas Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat lagi, bagi menjamin sekuriti air mentah terutama semasa musim kemarau dan perubahan iklim, negara kini disokong oleh lima buah empangan utama dengan jumlah kapasiti simpanan 187 juta meter padu iaitu Empangan Ulu Tutong berkapasiti simpanan 100 juta m3, Empangan Benutan: 56 juta m3, Empangan Mengkubau: 16 juta m3, Empangan Kargu: 14 juta m3, Empangan Tasek: satu juta m3.
Sebagai langkah jangka panjang tambah Yang Berhormat, kementerian sedang merangka perancangan mempelbagaikan sumber bekalan air melalui projek bekalan alternatif di kawasan-kawasan utama dan strategik. Pendekatan tersebut bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan konvensional bagi perkhidmatan di kawasan-kawasan kritikal.
“Secara keseluruhannya, pembangunan kapasiti pengeluaran, pengukuhan sumber air mentah dan kepelbagaian sumber bekalan mencerminkan komitmen Kementerian dalam memastikan sekuriti bekalan air negara terus terjamin, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan semasa, malah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara pada masa hadapan.
“Dalam memperkukuhkan kecekapan infrastruktur air negara melalui transformasi digital, selain meningkatkan kapasiti bekalan air, kementerian turut memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan sistem bekalan air melalui pengurangan air yang tidak terhasil atau Non Revenue Water seperti pembaziran air melalui ‘illegal tapping’, kebocoran dan paip pecah. Pendekatan berkenaan meningkatkan kecekapan agihan air bersih kepada pengguna dengan menggunakan infrastruktur yang sedia ada,” ujar Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa Jabatan Perkhidmatan Air sedang melaksanakan Projek Pengurusan NRW Fasa 3 bernilai BND22.1 juta, yang bermula pada 2 September 2025 bagi tempoh pelaksanaan selama 48 bulan.
Projek berkenaan merupakan komponen utama dalam transformasi Smart Water Grid, yang memanfaatkan teknologi digital untuk memantau, mengesan kebocoran, dan mengurus bekalan air secara masa nyata (real time), ujar Yang Berhormat.
“Projek ini akan mengintegrasikan 3 sistem utama iaitu Sistem Pengurusan Air Tidak Berhasil (NRW Manager System), Sistem pemantauan tekanan digital (pressure logging) dan Sistem Pemeteran Pintar Bersepadu (Unified Smart Metering System - USMS),” jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Kongsi Yang Berhormat, setakat 19 Julai 2026, sebanyak 51,458 unit meter air pintar telah dipasang, dengan baki 77,493 unit lagi disasarkan selesai menjelang Disember 2027. Pendigitalan sistem tersebut turut akan menyokong program penggantian paip usang dan berisiko tinggi secara berperingkat.
Data yang diperoleh melalui Smart Water Grid, ujar Yang Berhormat, membolehkan lokasi paip yang kritikal dikenal pasti dengan lebih tepat, sekali gus membolehkan kerja-kerja pembaharuan aset dilaksanakan secara sistematik berdasarkan penilaian risiko dan keutamaan operasi.
Selain itu tambah Yang Berhormat lagi, pendekatan tersebut juga berupaya mempercepatkan tindak balas terhadap gangguan bekalan serta meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air negara.
“Pendekatan ini amat penting memandangkan sepanjang tahun kewangan 2025/2026, lebih 6,000 insiden kebocoran paip pembahagian serta lebih 170 insiden kebocoran paip utama telah direkodkan.
“Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang kementerian untuk mengurangkan kadar Non-Revenue Water kepada 25 peratus menjelang tahun 2035,” terang Yang Berhormat.