Pasukan Kluster 4 raih pingat emas Pertandingan Bola Jaring

20 Nov 2026 - 6:07am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Khamis, 19 November. - Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Bola Jaring Sempena Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (BDSG) 2026 Kali Ke-3 yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Kluster 4 berjaya meraih pingat emas, diikuti Kluster 1 yang memperoleh pingat perak, manakala Kluster 5 membawa pulang pingat gangsa.

Pada tahun ini, sebanyak lima acara sukan dipertandingkan, iaitu Bola Jaring, Bocce, Badminton, Futsal dan Olahraga (Kids Athletics).

Kejohanan yang berlangsung selama lapan hari, bermula 16 hingga 23 November 2026, melibatkan penyertaan seramai 690 atlet pelajar sekolah rendah dari enam kluster sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.

Penganjuran BDSG merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar dalam bidang sukan, di samping memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah.

Pada edisi kali ini, BDSG dikhususkan kepada penyertaan pelajar sekolah rendah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas selaku penganjur bersama.

Kerjasama berkenaan bertujuan memperluas peluang penyertaan dan memberikan ruang kepada pelajar berkeperluan khas untuk turut terlibat dalam aktiviti sukan serta merasai pengalaman menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan.