Pastikan Wawasan Brunei 2035 kekal teras memacu hala tuju pembangunan negara

6 Og 2026 - 5:33am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyatakan sokongan penuh terhadap usul yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II berhubung penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata, usul tersebut amat selari dengan keperluan negara serta menggambarkan komitmen berterusan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dalam menjunjung kurnia titah untuk merealisasikan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam demi memastikan Wawasan Brunei 2035 kekal sebagai teras memacu hala tuju pembangunan negara.

Menurut Yang Berhormat, usul tersebut menekankan bahawa setiap dasar, strategi dan pelaburan kerajaan hendaklah bergerak ke arah matlamat yang sama, iaitu membina Negara Brunei Darussalam (NBD) yang lebih makmur, berdaya tahan dan mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Yang Berhormat turut menjelaskan bahawa Kementerian Pembangunan menjunjung tinggi kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam memperkukuh mekanisme penyelarasan Kerajaan melalui pelantikan tiga Menteri Penyelaras, iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi serta Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dalam menerajui agenda sektor keselamatan negara, sektor ekonomi dan sektor sosial dan tenaga manusia.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perancangan fizikal infrastruktur, penyediaan dan pengurusan guna tanah yang mampan, penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti, di samping penambahbaikan dasar dan peraturan yang progresif, Kementerian Pembangunan memainkan peranan strategik sebagai pemangkin pembangunan dengan menyediakan asas yang kukuh bagi mendorong pelaksanaan dasar dan pencapaian strategik ketiga-tiga sektor tersebut,” tambah Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Yang Berhormat turut merujuk kepada kurnia titah Kebawah DYMM yang menegaskan kepentingan memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui pengukuhan sektor kewangan serta usaha berterusan untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment, FDI).

Selain itu, jelas Yang Berhormat, baginda turut menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat dengan Kementerian Pembangunan dalam menyediakan tanah, infrastruktur dan kemudahan sokongan bagi mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif, sekali gus memudahkan para pelabur untuk beroperasi dan berkembang.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan Kementerian Pembangunan akan terus menumpukan usaha kepada tiga keutamaan iaitu keutamaan utama, iaitu mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada (land optimisation) secara lebih efisien serta mengenal pasti tapak-tapak baharu yang berpotensi mengikut keperluan sektor ekonomi bagi meningkatkan produktiviti dan nilai guna tanah.

Keutamaan kedua tambah Yang Berhormat, ialah menyediakan infrastruktur yang berkualiti, berdaya tahan dan cekap, termasuk bekalan air, rangkaian jalan raya, tebatan banjir dan perumahan bagi mendorong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, keutamaan ketiga ialah memperkukuh dasar, proses dan kerangka kawal selia bagi memudahkan serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dan para pelabur, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan berdaya saing bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini, jelas Yang Berhormat.