Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohammad Hasif Matzin
GADONG, Selasa, 10 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Kementerian Pendidikan mencatatkan satu lagi pencapaian dalam memperkukuh kerjasama pendidikan serantau apabila buat julung kalinya menganjurkan Konsortium bagi Programme for International Student Assessment (PISA) Kali Pertama Tahun 2026.
Majlis Perasmian Konsortium berkenaan berlangsung di Songket Ballroom, Rizqun International Hotel, Gadong dan disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin serta Duta-duta Besar; Naib Canselor dan Rektor; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan Kementerian Pendidikan dan wakil-wakil daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Paris.
Konsortium yang berlangsung dari 10 hingga 12 November 2026 itu menghimpunkan delegasi negara-negara anggota konsortium yang terdiri daripada NBD, Kerajaan Kemboja, Republik Indonesia, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.
Turut menyertai konsortium berkenaan ialah Ahli-ahli Pemerhati yang terdiri daripada Republik Demokratik Rakyat Lao, Republik Kesatuan Myanmar dan Republik Demokratik Timor-Leste serta negara-negara jemputan dari Asia Timur (dengan Pencapaian PISA Tertinggi) iaitu Jepun, Republik Korea Selatan dan Republik Rakyat China.
Penganjuran edisi sulung oleh NBD selaku negara tuan rumah itu diselaraskan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan.
Konsortium ini merupakan satu platform kerjasama serantau yang menghimpunkan negara-negara Asia Tenggara serta negara-negara rakan dari Asia Timur bagi menggalakkan perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan berasaskan bukti dalam usaha meningkatkan kualiti dan kesaksamaan pendidikan.
Bertemakan ‘Advancing Innovative and Sustainable Education : From PISA Evidence to Action’, ia memberi penekanan kepada kepentingan penggunaan bukti dan dapatan PISA 2025 sebagai asas dalam merangka dasar serta melaksanakan pendekatan pendidikan yang inovatif dan mampan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati, selaku Ahli Lembaga Tadbir PISA (PISA Governing Board) NBD.
Dalam ucapannya, Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati antara lain menjelaskan bahawa penubuhan konsortium berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, berasaskan dapatan laporan antarabangsa PISA 2025, inisiatif berkenaan menyediakan platform bagi negara-negara peserta untuk bertukar pengalaman, membincangkan cabaran bersama serta meneroka pendekatan berasaskan bukti dalam memajukan kualiti dan kesaksamaan pendidikan.
Beliau turut menekankan bahawa penilaian antarabangsa seperti PISA bukan sahaja memberikan gambaran mengenai pengetahuan dan kompetensi pelajar, malah turut menyediakan maklumat penting berkaitan pengalaman serta persekitaran pembelajaran mereka.
Bagaimanapun, nilai sebenar dapatan tersebut, jelasnya, bukan sekadar memahami pencapaian pelajar, tetapi juga terletak pada keupayaan untuk mentafsir bukti, mengenal pasti bidang yang perlu ditambah baik dan menterjemahkan penemuan berkenaan kepada dasar serta amalan yang bersesuaian dengan konteks setiap negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha meningkatkan mutu pendidikan memerlukan kepimpinan yang berwawasan, kesediaan untuk berinovasi serta komitmen berterusan, di samping kesediaan negara-negara peserta untuk saling belajar dan menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan serta keutamaan masing-masing.
Majlis diteruskan dengan Pelancaran Rasmi Konsortium Pendidikan PISA Asia Tenggara Kali Pertama Tahun 2026 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Atur cara diteruskan dengan Pembentangan Utama melalui rakaman video yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan dan Kemahiran, OECD, Paris, Andreas Schleicher serta Pakar Analisis Kanan OECD, Paris, Dr. Miyako Ikeda.
Program konsortium pada hari pertama turut merangkumi dua Sesi Plenari yang bertemakan ‘Best Practices and Key Learnings in Improving Education Outcomes’.
Sesi-sesi tersebut menampilkan perkongsian daripada pakar-pakar OECD dan delegasi-delegasi jemputan, yang memberi peluang kepada negara-negara peserta untuk berkongsi pengalaman serta pendekatan dalam meningkatkan hasil pendidikan.
Konsortium ini turut memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu Kecekapan Sains (Science Proficiency); Kesejahteraan Pelajar dan Persekitaran Pembelajaran (Students’ Well being and Learning Environment); Interaksi Digital Pelajar termasuk Kecerdasan Buatan (Students’ Digital Interaction including AI) serta Perubahan Iklim dan Cabaran Alam Sekitar (Climate Change and Environmental Challenges).
Melalui sesi perkongsian, dialog dan bengkel interaktif, konsortium ini diharap dapat memperkukuh kerjasama serantau, meningkatkan kapasiti serta membina rangkaian profesional dalam kalangan negara peserta ke arah memajukan sistem pendidikan yang berkualiti, inklusif dan mampan.