NBD sertai Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12

20 Nov 2026 - 6:25am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menyertai Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 yang akan berlangsung di Sabah, Malaysia, pada 23 hingga 27 November 2026.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen NBD ke Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12, Sabah, Malaysia 2026 telah diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera negara ialah Menteri Pendidikan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan NBD, ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Shahram bin Haji Abd Rahman, yang turut membacakan Doa Selamat pada penghujung majlis.

Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap selaku Pemangku Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penyerahan bendera negara bukan sekadar acara simbolik, malah melambangkan amanah, kebanggaan dan tanggungjawab kontinjen dalam menggalas nama NBD di arena sukan serantau.

Dayang Hajah Noridah turut menjelaskan bahawa Sukan Persahabatan BIMP-EAGA bukan sahaja menjadi medan pertandingan sukan, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan persahabatan, memupuk persefahaman serta memperkukuh kerjasama antara Negara Anggota BIMP-EAGA.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua atlet dan pegawai kontinjen dapat memberikan komitmen sepenuhnya, berusaha bersungguh-sungguh serta menampilkan prestasi terbaik, di samping menjunjung tinggi semangat kesukanan, disiplin dan integriti serta sentiasa mematuhi peraturan pertandingan, termasuk peraturan ‘anti-doping’.

Dayang Hajah Noridah menaruh harapan agar pengalaman yang diperoleh sepanjang penyertaan dalam temasya berkenaan akan menjadi asas penting dalam membina barisan atlet pelapis yang berkualiti, berdaya tahan dan berpotensi untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara pada masa hadapan.

Kemuncak majlis menyaksikan tetamu kehormat menyerahkan Bendera NBD kepada Dayang Noorfaizah binti Haji Suboh selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12, Sabah, Malaysia 2026.

Kontinjen NBD kali ini dianggotai seramai 64 orang, terdiri daripada 42 atlet dan 22 pegawai termasuk Chef de Mission, pegawai-pegawai urus setia dan perhubungan, pegawai perubatan, jurulatih serta pengurus.

Kontinjen negara akan menyertai tujuh acara sukan iaitu badminton, boling padang, karate, olahraga, pencak silat, renang dan sepak takraw.

Sukan Persahabatan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan persahabatan dalam kalangan Negara Anggota BIMP-EAGA serta memupuk perpaduan, persefahaman dan kerjasama melalui penganjuran aktiviti sukan.

BIMP-EAGA merupakan singkatan bagi Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina. Edisi pertama sukan berkenaan berlangsung di Filipina pada tahun 1996, diikuti Sarawak pada tahun 1997 sebelum dihentikan sementara.

Temasya tersebut diadakan semula pada tahun 2003 dengan Filipina sebagai tuan rumah, diikuti Sabah pada tahun 2004, Indonesia pada tahun 2006, NBD pada tahun 2008, Filipina pada tahun 2012, Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2014, Kalimantan Timur, Indonesia pada tahun 2016, NBD pada tahun 2018 dan Filipina pada tahun 2024.

Pada Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-11 yang berlangsung di Filipina, kontinjen negara berjaya meraih tiga pingat emas, dua pingat perak dan lapan pingat gangsa.

Kontinjen negara dijadualkan bertolak ke Sabah secara berperingkat-peringkat mulai 21 November 2026.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan, wakil persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta ahli keluarga atlet.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.