Siaran Akhbar dan Foto : Sparks Ventures
BANGKOK, Selasa, 17 November. - Kecemerlangan kepimpinan korporat dan pembangunan modal insan Negara Brunei Darussalam (NBD) terus terserlah di persada antarabangsa pada Majlis Anugerah Gala Asia HRD Awards 2026 di Bangkok, apabila dua penerima dari negara ini yang mewakili organisasi serta bidang pencapaian yang berasingan masing-masing dikurniakan pengiktirafan serantau yang berprestij.
Berlangsung di Grand Ballroom, Millennium Hilton Bangkok pada 12 November yang lalu anjuran SMR HR Group, Malaysia, Majlis Gala tersebut menghimpunkan barisan pemimpin perniagaan terkemuka, pembuat dasar, dan perintis sumber manusia dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Di hadapan hadirin antarabangsa, kedua-dua penerima diraikan atas sumbangan tersendiri mereka terhadap pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.
Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut tersenarai antara penerima dari NBD yang diiktiraf pada acara tersebut menerusi Anugerah Contribution to Society (Sumbangan kepada Masyarakat).
Anugerah ini mengiktiraf organisasi atas usaha mereka dalam memberikan sumbangan yang positif dan bermakna kepada masyarakat, melangkaui aktiviti teras perniagaan mereka.
Bagi BIBD, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan bank dalam menyokong pembangunan komuniti di NBD, termasuk usaha dalam bidang pendidikan, keterangkuman kewangan, keusahawanan serta inisiatif yang membantu mewujudkan peluang bagi golongan yang memerlukan.
Anugerah tersebut diterima bagi pihak bank oleh Pemangku Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas (Acting Head of Government Relations and Special Projects), Awang Zulhazransa bin Haji Emran.
Dalam kategori individu berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Adinin (Adinin Group of Companies), Awang Haji Musa bin Haji Adnin dikurniakan Anugerah Movers & Shakers.
Kategori ini mengiktiraf tokoh pemimpin korporat berwawasan yang mempunyai pandangan jauh strategik, daya tahan keusahawanan dan semangat perintis dalam memacu pertumbuhan industri serta melahirkan generasi bakat tempatan.
Menerusi kepimpinan beliau selama beberapa dekad menerajui Adinin Group, Awang Haji Musa memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan korporat, memperkukuh ekosistem sektor swasta NBD serta memperjuangkan pembangunan modal insan yang mampan.
Sejurus selepas Majlis Gala tersebut, seramai 15 delegasi NBD yang diselaraskan dan diterajui oleh Sparks Ventures (SVE) selaku Rakan Kongsi Rasmi Negara (Country Partner) bagi Anugerah HRD Asia di NBD menyertai Persidangan Antarabangsa Asia HRD sehari penuh di lokasi yang sama pada 13 November.
Para delegasi mengambil bahagian secara aktif dalam sesi ucaptama dan perbincangan panel yang mengupas kepimpinan kalis masa depan, ketangkasan tenaga kerja, serta inovasi organisasi.
Mengulas impak pengiktirafan tersebut terhadap negara, Pengasas dan Pengarah Urusan Sparks Ventures, Pengiran Khairul Khalil bin Pengiran Syed Haji Jaafari menegaskan kepentingan pencapaian berkenaan di peringkat serantau.
Jelasnya, pengiktirafan yang diberikan secara berasingan kepada BIBD dan Awang Haji Musa menghantar mesej yang jelas ke seluruh rantau ini bahawa institusi dan pemimpin korporat Brunei mampu menetapkan penanda aras dalam impak sosial, daya tahan perniagaan, serta pengurusan modal insan.
“Syabas diucapkan kepada kedua-dua penerima anugerah serta seluruh delegasi negara atas komitmen luar biasa dalam membawa nama baik NBD di Bangkok.
"Pencapaian ini menandakan satu kejayaan bermakna buat negara, dan ia hanyalah permulaan. Selaku Rakan Kongsi Rasmi Negara, Sparks Ventures komited untuk terus memperluas penyertaan Brunei di platform ini dengan bekerjasama rapat bersama agensi-agensi kerajaan utama dan organisasi sektor swasta terkemuka agar lebih banyak kisah kejayaan negara dapat dicalonkan dan diraikan di pentas serantau pada tahun hadapan," ujarnya lagi.
Melanjutkan momentum tersebut, Sparks Ventures juga telah menyatakan minat untuk melobi bagi membawa penganjuran Asia HRD Congress & Awards ke NBD pada tahun 2028, dengan hasrat berkenaan telah pun disampaikan secara langsung kepada Tan Sri Dato' Dr R. Palan, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan SMR HR Group, Malaysia, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Anugerah HRD Asia di Bangkok.
Penganjuran kongres berprestij ini di NBD dihasratkan untuk meletakkan negara sebagai hab serantau bagi kecemerlangan kepimpinan dan pembangunan modal insan, di samping merancakkan lagi sektor pelancongan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), memberi limpahan ekonomi kepada industri hospitaliti serta perniagaan tempatan, dan membuka peluang kepada warga profesional Brunei untuk menimba ilmu secara langsung daripada tokoh pemikir bertaraf dunia di tanah air sendiri.
Dengan berakhirnya persidangan tersebut, delegasi NBD pulang ke tanah air dengan jaringan kerjasama serantau yang lebih kukuh serta perspektif strategik baharu bagi terus memacu agenda pembangunan modal insan negara di bawah Wawasan Brunei 2035.