NBD berada di Monsun Barat Daya

9 Og 2026 - 5:58am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada di Monsun Barat Daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung bulan September 2026.

Taufan Dolphin yang kini berada di Barat Laut Lautan Pasifik dijangka menarik kelembapan atmosfera dari rantau kita ke arah kawasan tersebut, khususnya di sekitar sistem taufan berkenaan. Oleh itu, cuaca di Borneo dijangka lebih kering berbanding minggu sebelumnya.

Pada hari ini, Sabtu, 8 Ogos 2026, terdapat tiga kawasan telah merekodkan keadaan cuaca panas melampau iaitu Anggerek Desa, Bangar dan Labi manakala terdapat lima kawasan lain yang telah merekodkan suhu cuaca panas luar biasa iaitu Bandar Seri Begawan, Lumapas, Lakiun, Benutan dan Kuala Belait.

Sejak 6 Ogos yang lalu, tiada turunan hujan yang signifikan direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Setakat ini, jumlah turunan hujan yang direkodkan bagi bulan Ogos 2026 adalah sebanyak 101.5mm, iaitu sekitar 56 peratus lebih rendah berbanding jumlah purata normal bagi bulan Ogos, iaitu 231.5mm.

Keadaan cuaca diramalkan panas dan sedikit berjerebu sehingga pertengahan bulan Ogos 2026 dengan aktiviti turunan hujan yang minimum berlaku terutamanya di kawasan pedalaman. Manakala, suhu maksimum harian dijangkakan berada dalam lingkungan 34 darjah celsius hingga 36 darjah celsius.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah-langkah berpatutan berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook ‘@bruneiweather’, Instagram ‘@brunei.weather’, Telegram dan WhatsApp ‘Brunei Weather’.