Meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu semasa, dasar kerajaan

18 Nov 2026 - 7:49am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

MENTIRI, Selasa, 17 November.  - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Sua Muka (Personal Contact) bersama Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1, Ketua Kampung Kawasan 3 dan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, hari ini.

Program yang berlangsung di Bilik Kuliah, Masjid Hassanal Bolkiah, Mentiri itu bertujuan menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan, di samping mendapatkan maklum balas serta pandangan penduduk yang memerlukan perhatian dan tindakan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.

Turut hadir, Ketua Kampung Kawasan 3 RPN Kampung Panchor, Mengkubau, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad; Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1 RPN Kampung Panchor, Mengkubau, Awang Zulkhari bin Haji Junaidi; dan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 5 RPN Kampung Panchor, Mengkubau, Awang Haji Hairul Azri bin Haji Salamat.

Dalam mukadimahnya, ketua rombongan menekankan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat terkini, dasar-dasar kerajaan serta isu-isu semasa kepada masyarakat melalui pelbagai saluran, termasuk Program Sua Muka dan penerbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

Beliau turut menjelaskan bahawa Program Sua Muka merupakan salah satu inisiatif komunikasi bersemuka Jabatan Penerangan yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dengan rakyat, di samping menyebarluaskan maklumat dan melaksanakan program hubungan masyarakat demi menyumbang kepada perkembangan serta kemajuan mukim dan kampung.

Sementara itu, dalam ucapan balasnya, Awang Mohammad Hilmy selaku wakil ketua-ketua kampung menyatakan bahawa program berkenaan merupakan satu wadah penting dalam membantu mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung dan negara.

Beliau juga berharap agar program seumpama itu akan terus menjadi rujukan serta penghubung antara penduduk kampung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Program berkenaan turut diisikan dengan penyampaian maklumat dan pesanan awam kepada penduduk-penduduk kampung dari Biro Kawalan Narkotik (BKN) mengenai bahaya sindiket pengedaran dadah.

Selain itu, sesi dialog bersama penduduk kampung turut diadakan bagi membincangkan beberapa isu yang dibangkitkan, antaranya berkaitan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam.

Melalui program seumpama berkenaan, hubungan komunikasi dan kerjasama antara pihak kerajaan dengan masyarakat diharap akan terus diperkukuh, sekali gus memastikan isu serta keperluan penduduk dapat disampaikan kepada pihak berkenaan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.