Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Rendah Beribi Telanai, Kluster 4
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. – Sekolah Rendah Beribi Telanai telah mengadakan Majlis Graduasi Prasekolah Tahun 2026 pada hari ini, bertempat di Dewan Berdudun, sekolah berkenaan.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kejayaan dan pencapaian murid-murid prasekolah yang telah menamatkan sesi pembelajaran mereka pada tahun ini. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada murid-murid atas usaha, perkembangan dan pencapaian mereka sepanjang mengikuti pembelajaran di peringkat prasekolah.
Majlis itu merupakan satu kenangan manis kepada murid-murid serta ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pendidikan anak-anak. Semoga dengan penghargaan tersebut dapat meningkatkan keyakinan diri murid melalui penglibatan dalam persembahan dan aktiviti majlis di samping mengeratkan silaturahim antara pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa dan penjaga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penolong Guru Besar I, Sekolah Rendah Beribi Telanai, Dayang Hajah Latipah binti Haji Ibrahim
Majlis diteruskan dengan perarakan masuk guru-guru prasekolah dan murid-murid prasekolah ke dalam dewan sebagai tanda permulaan Majlis Graduasi. Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ secara beramai-ramai, diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Awang Haji Md. Ali Hassan bin Haji Ramli bagi memohon keberkatan dan kelancaran majlis tersebut.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Penolong Guru Besar 1, diikuti dengan penyampaian Pencapaian Murid Simpur sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian murid-murid.
Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan gabungan murid prasekolah sebagai peluang kepada murid-murid untuk menunjukkan bakat, kreativiti serta keyakinan diri mereka di hadapan ramai.
Acara kemuncak majlis ialah Majlis Graduasi Prasekolah Sesi 2026 yang meraikan murid-murid yang telah berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat prasekolah.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup oleh Awang Muhammad Nur Izzat Saifudin bin Mohamad Daud dan sesi bergambar ramai.
Pihak sekolah berharap agar Majlis Graduasi prasekolah seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha serta pencapaian murid-murid.
Diharapkan agar pengalaman manis yang diperoleh melalui majlis berkenaan akan menjadi kenangan indah kepada semua murid prasekolah serta menjadi pembakar semangat untuk mereka terus melangkah ke alam persekolahan yang seterusnya.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak pentadbiran sekolah, guru-guru, ibu bapa, penjaga serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan Majlis Graduasi Prasekolah Tahun 2026.