Mengiktiraf pencapaian pelajar dalam pendidikan vokasional

19 Nov 2026 - 6:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam

SERASA, Rabu, 18 November. – Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM), telah meraikan kejayaan para pelajar Tahun 11 daripada Program BTEC Hospitaliti dan Program Pra-Vokasional Permata menerusi Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Sijil yang berlangsung pada hari ini.

Majlis tersebut diadakan bagi mengiktiraf pencapaian serta perkembangan para pelajar dalam menguasai kemahiran praktikal dan kompetensi melalui pendidikan vokasional. Selain itu, ia juga mencerminkan usaha berterusan pihak sekolah dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang bukan sahaja tertumpu di dalam bilik darjah, malah turut mempersiapkan para pelajar untuk menghadapi kehidupan selepas menamatkan persekolahan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pengurus Besar Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd., Awang Mohammad Iraqastalani bin Haji Asrul Hamzy.

Turut hadir, jemputan khas, Pengurus Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd., Awang Haji Mohd. Nooh bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Awang Mohd. Amirol Bakry bin Haji Ibrahim; serta Pengetua sekolah, Dayang Hajah Khadijah binti Haji Awang Mohd. Salleh.

Antara pengisian utama majlis berkenaan ialah pengiktirafan kepada para pelajar Permata yang menyertai Program Pembungkusan Rempah-Ratus sekolah berkenaan dengan kerjasama Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd.

Kerjasama yang terjalin sejak 2017 berkenaan telah membuka peluang kepada para pelajar untuk memperoleh pengalaman kerja secara praktikal menerusi aktiviti yang dilaksanakan di dalam kawasan sekolah.

Melalui program tersebut, para pelajar didedahkan kepada pelbagai peringkat proses pembungkusan, termasuk kerja-kerja pelabelan, penimbangan, pengisian dan pengedapan bungkusan rempah-ratus. Menerusi aktiviti berkenaan, para pelajar berpeluang mengembangkan kemahiran kerja secara praktikal, di samping mempelajari kepentingan ketelitian, tanggungjawab, kerja berpasukan, kebersihan diri serta pematuhan terhadap tatacara dan prosedur di tempat kerja.

Sokongan berterusan daripada Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. selama ini telah membolehkan pihak sekolah menyediakan pendedahan vokasional yang bermakna kepada para pelajar Permata, khususnya mereka yang berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan peluang menjalani penempatan kerja di luar sekolah.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan kepentingan kerjasama berterusan antara pihak industri dengan institusi pendidikan dalam mewujudkan peluang pembelajaran yang inklusif, sekali gus membantu para pelajar membina keyakinan diri serta menguasai kompetensi yang diperlukan dalam alam pekerjaan.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut meraikan kejayaan para pelajar Tahun 11 yang telah menamatkan kelayakan BTEC Level 2 dalam bidang Hospitaliti. Menerusi program tersebut, para pelajar telah memperoleh pengetahuan serta pengalaman praktikal dalam sektor hospitaliti, di samping mengembangkan kemahiran dan pemahaman yang bersesuaian dengan keperluan industri berkenaan.

Program BTEC Hospitaliti turut memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pembelajaran di dalam bilik darjah dalam situasi praktikal. Pendekatan tersebut bertujuan memperkukuh pemahaman mereka mengenai keperluan dan jangkaan di tempat kerja, etika profesional, kemahiran komunikasi serta kepentingan memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Secara keseluruhannya, kedua-dua program berkenaan mencerminkan komitmen SMPIHM dalam menyediakan laluan pembelajaran yang pelbagai dengan mengambil kira keupayaan, minat dan aspirasi setiap pelajar.

Melalui gabungan pendidikan vokasional yang tersusun dengan pengalaman pembelajaran secara amali, pihak sekolah berhasrat untuk melengkapkan para pelajar dengan keyakinan diri, sikap berdikari serta kemahiran asas kehidupan yang diperlukan bagi menghadapi peluang pekerjaan pada masa hadapan dan menjalani kehidupan seharian.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para pelajar BTEC yang menamatkan pengajian serta para pelajar Permata yang menyertai Program Pembungkusan Rempah-Ratus Sabli. Penyampaian cenderamata penghargaan turut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan para guru dan rakan kerjasama industri dalam mendukung perjalanan pembelajaran para pelajar berkenaan.