Mengekalkan tahap profesionalisme dalam kalangan pengamal industri

19 Nov 2026 - 5:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Insurans dan Takaful Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (Brunei Insurance and Takaful Association - BITA) telah mengadakan Bengkel Pembangunan Profesional Berterusan (Continuous Professional Development - CPD) mengenai Pengurusan Hubungan Pelanggan (Client Relationship Management) khusus untuk ejen insurans dan takaful di Star Lodge Hotel, Jerudong.

Bengkel ini memberi tumpuan kepada pengurusan hubungan pelanggan dengan objektif untuk menyokong pembangunan profesional para ejen agar mereka lebih bersedia dalam memberikan perkhidmatan serta nasihat kepada orang ramai dan pelanggan mereka.

Melalui bengkel ini, para ejen berpeluang mempelajari cara membina kepercayaan pelanggan melalui kredibiliti profesional yang tinggi, mewujudkan hubungan yang baik dengan pelanggan serta mengekalkan pengaruh profesional secara berterusan dalam jangka masa panjang.

Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi BITA, Awang Haji Shahrildin bin POKLU DP Haji Jaya menekankan peranan CPD dalam mengekalkan tahap profesionalisme dalam kalangan pengamal industri. Beliau turut menyentuh mengenai trend pendigitalan dalam industri berkenaan.

Sebanyak dua sesi bengkel telah diadakan pada hari yang sama. BITA merancang untuk menganjurkan sesi seumpamanya pada tahun 2027. Takwim bengkel akan diumumkan melalui pekeliling industri dan laman sesawang rasmi serta media sosial BITA.