Mendedahkan mahasiswa kepada peluang kerjaya di organisasi antarabangsa

15 Nov 2026 - 3:46am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri UNISSA baru-baru ini telah menganjurkan sesi perkongsian bertajuk ‘From Campus to Global Institutions : How to Be Globally Ready?’ di Auditorium UNISSA.

Sesi perkongsian tersebut disampaikan oleh Pengurus Sumber Manusia di Institusi Kewangan Antarabangsa, Dayang Rafidah binti Rambli.

Sesi berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa, bakal graduan dan alumni mengenai peluang kerjaya di organisasi antarabangsa. Para peserta berpeluang memperoleh maklumat tentang peluang kerjaya, proses permohonan dan persediaan untuk memohon pekerjaan di peringkat antarabangsa, serta kelayakan, kriteria dan kemahiran yang diperlukan oleh organisasi antarabangsa.

Sesi tersebut turut menekankan kepentingan persediaan awal, termasuk membangunkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan global.

Seramai 96 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, mahasiswi, alumni serta warga akademik UNISSA menyertai program berkenaan.

Program tersebut turut menyediakan sesi soal jawab interaktif yang membuka ruang kepada para peserta untuk mengemukakan pertanyaan, bertukar pandangan serta mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam secara langsung daripada penyampai.

Penganjuran program berkenaan diharap dapat meningkatkan keyakinan mahasiswa dan alumni UNISSA dalam meneroka peluang kerjaya antarabangsa serta memperkukuh kebolehpasaran graduan UNISSA.