Mencungkil bakat, kreativiti dalam seni penceritaan bahasa Arab

18 Nov 2026 - 7:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA) telah menganjurkan Pertandingan Mari Bercerita Bahasa Arab sebagai salah satu pengisian Mahrajan (Karnival) Bahasa Arab 2026 yang diadakan sempena Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2026.

Pertandingan tersebut telah berlangsung di Auditorium UNISSA, Kampus Gadong dengan penyertaan seramai tujuh pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 dari sekolah-sekolah Arab di Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pertandingan berkenaan, Timbalan Dekan FBA, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Abdullah.

Pertandingan Mari Bercerita merupakan antara pengisian Mahrajan Bahasa Arab 2026 yang telah berlangsung selain Pertandingan Terjemahan dan Pertandingan Bacaan Berita Bahasa Arab.

Pertandingan berkenaan bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta mengetengahkan bakat dan kreativiti masing-masing dalam seni penceritaan menggunakan bahasa Arab. Di samping menjadi platform untuk mengasah kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa, pertandingan tersebut turut membantu meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran penyampaian peserta melalui penyampaian cerita yang menarik dan berkesan.

Penganjuran pertandingan berkenaan juga merupakan salah satu usaha FBA UNISSA dalam memupuk minat generasi muda terhadap pembelajaran bahasa Arab, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingannya sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan warisan Islam.

Melalui inisiatif seumpama tersebut, diharapkan agar para peserta bukan sahaja dapat mengembangkan potensi diri dalam penguasaan bahasa Arab, malah terdorong untuk terus mendalami dan mengaplikasikan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.

Usaha berkenaan sekali gus menyumbang kepada pemerkasa dan pemartabatan bahasa Arab dalam kalangan generasi muda serta masyarakat secara keseluruhannya.

Majlis Perasmian Mahrajan Bahasa Arab akan berlangsung pada 19 Disember 2026.