Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Seramai 20 orang dalam kalangan belia masjid bersama pegawai dan kakitangan dari Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah mengadakan kunjungan ke Biro Mencegah Rasuah (BMR) pada pagi tadi bagi mengikuti Program Biro Mencegah Rasuah Bersama Belia Masjid.
Program berkenaan bertujuan untuk memberikan pengenalan dan pengetahuan asas kepada para belia mengenai rasuah, mendidik mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk perlakuan rasuah serta melahirkan golongan belia yang berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.
Acara diisikan dengan taklimat mengenai pencegahan rasuah, sesi soal jawab dan kuiz bagi memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami dengan lebih lanjut perkara-perkara berkaitan pencegahan rasuah.
Seterusnya, para belia masjid turut menyertai aktiviti berkumpulan dan menyampaikan pembentangan hasil perbincangan masing-masing.
Melalui program seumpama berkenaan, diharap para belia masjid akan lebih memahami bahaya dan kesan rasuah serta sentiasa mengamalkan nilai-nilai integriti, kejujuran, amanah dan disiplin dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadi generasi belia yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.