Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Sultan Hassan Temburong
TEMBURONG, Sabtu, 14 November. – Dalam usaha memupuk minat membaca dan memperkasa budaya literasi dalam kalangan pelajar, Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH) Temburong hari ini mengadakan Sambutan Hari Buku Sedunia 2026 (World Book Day 2026).
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama CfBT Brunei berkenaan adalah bagi meraikan Hari Literasi Antarabangsa yang berlangsung meriah di kawasan perkarangan sekolah, bermula seawal pukul 7.30 pagi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Penolong Profesor di Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr. Malai Zeiti binti Sheikh Abd. Hamid, yang juga merupakan Presiden Persatuan Membaca dan Literasi Brunei (ReLA).
Turut hadir, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Pengetua SMSH Temburong, Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman, tenaga pengajar serta para pelajar sekolah berkenaan.
Sambutan dimulakan dengan perkumpulan pagi yang turut menyaksikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Buku Sedunia 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran SMSH Temburong, Awang Haji Ziad bin Haji Kula.
Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi ‘Mystery Readers’ di dalam bilik-bilik darjah. Pengisian utama pada sebelah pagi menampilkan sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Meet The Minds Behind The Books’ yang diadakan di Dewan Serbaguna (MPH).
Sesi bagi pelajar Tahun 7 dan Tahun 8 telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr. Aammton Alias; manakala pelajar Tahun 9 pula berpeluang mendengarkan perkongsian langsung daripada tetamu kehormat majlis.
Selain sesi ceramah, para pelajar turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif mengikut tahap masing-masing. Antaranya ialah lawatan ke pameran buku di Town Hall yang disertai oleh pempamer terkemuka seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Qasrun Nafis Publishing House dan Best Eastern Book Store. Di samping itu, sudut kaligrafi Cina (Calligraphy Corner) dan jualan buku (Book Bonanza) turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.
Acara kemuncak di dewan serbaguna dimulakan pada pukul 10.45 pagi dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua SMSH, diikuti dengan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan bakat pelajar termasuk persembahan pengucapan awam (Public Speaking), persembahan ‘Lit Up!’, tayangan video serta persembahan muzik tradisional gulintangan.
Sebelum majlis melabuhkan tirainya pada pukul 12.00 tengah hari, tetamu kehormat berkesempatan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti dan sijil penghargaan kepada rakan-rakan kolaborasi, diikuti dengan sesi bergambar ramai dan lawatan ke tapak pameran di Town Hall.
Penganjuran sambutan berkenaan diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang celik ilmu, kreatif dan menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup sepanjang hayat.