Memupuk budaya menghormati, menghargai profesion perguruan

15 Nov 2026 - 4:07am

Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. – Sebagai penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan para tenaga akademik, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru 1448 Hijrah / 2026 Masihi, peringkat KUPU SB.

Majlis berlangsung di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ra’es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad.

Seiring dengan tema ‘Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi’, majlis diserikan dengan persembahan daripada para mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB di samping tayangan video ucapan Hari Guru.

Selain mengeratkan silaturahim antara para tenaga akademik dan mahasiswa serta mahasiswi, majlis berkenaan juga dapat memupuk nilai hormat, terima kasih dan penghargaan terhadap profesion perguruan.

Lebih daripada itu, ia juga memberi penghormatan serta pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan dan dedikasi para guru secara menyeluruh dalam mendidik anak bangsa serta membangunkan modal insan dan negara.