Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka
BERAKAS, Sabtu, 21 November. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2026 di Balai Sarmayuda, DBP.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, pengarah-pengarah, pegawai -pegawai kerajaan, pengetua, guru-guru, ibu bapa serta para pelajar.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan 'Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam' serta Sesi Baca Buku 10 Minit.
Majlis turut diserikan dengan persembahan sketsa lakonan oleh para pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Seterusnya, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pegawai Bahasa, Dayang Sharyanty binti Haji Md. Sharif, selaku Penolong Setiausaha.
Dayang Sharyanty dalam ucapannya, menjelaskan bahawa matlamat pertandingan bukan sekadar medan mencari pemenang, malah menjadi platform melahirkan generasi pelapis yang gemar membaca, berani berfikir kritis dan mencintai dunia penulisan.
Jelasnya lagi, perkara tersebut selaras dengan komitmen berterusan DBP dalam menyediakan ruang kepada generasi muda untuk berkarya melalui penerbitan majalah serta buku tempatan, sekali gus memastikan kesinambungan dunia penulisan tanah air.
Peraduan menulis karangan ini merupakan kegiatan tahunan DBP bertujuan untuk mencungkil dan mengembangkan bakat penulisan kreatif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, di samping memupuk budaya membaca, memperkasa penggunaan bahasa Melayu dan menggalakkan penghasilan karya yang bermutu.
Peraduan tahunan yang dibukakan bermula pada 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026 berkenaan mencatatkan sambutan menggalakkan dengan penerimaan sebanyak 263 buah karangan daripada pelajar di seluruh negara.
Para pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah berupa wang tunai berserta plak, sijil penghargaan, majalah terbitan DBP dan hadiah tajaan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Hadiah Penghargaan Penyertaan Sekolah Terbaik dan Hadiah Penghargaan Jualan Majalah Terlaris Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan sokongan pihak sekolah dalam menyemarakkan budaya membaca dan menulis.
Pemenang tempat pertama bagi Kategori 'A' (Majalah Mekar) disandang oleh Dayang Siti Aisyah Rania binti Muhamad Iskandar dari Sekolah Rendah Beribi Telanai; manakala pemenang tempat pertama bagi Kategori 'B' (Majalah Juara Pelajar) diraih oleh Dayangku Nur Najla Mirza@Dayangku Mahira binti Pengiran Amirrul Azwan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Bagi Kategori 'C' (Majalah Juara Pelajar), tempat pertama disandang oleh Dayang Nur Basirah Izzati binti Haji Ali Rahman dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al Khattab; manakala bagi Kategori 'D' (Majalah Naindung), tempat pertama disandang oleh Awangku Muhammad Irsyad Atqa bin Pengiran Mohamad Nabil Fikri dari Sekolah Arab Temburong.
Sementara itu, penerima bagi Hadiah Penghargaan Penyertaan Sekolah Terbaik ialah Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Kategori 'A'), Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait (Kategori 'B'), Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (Kategori 'C'), dan Sekolah Rendah Beribi Telanai (Kategori 'D').
Manakala penerima bagi Hadiah Penghargaan Jualan Majalah Terlaris Tahun 2026 ialah Sekolah Rendah Lubok Pulau (Majalah Naindung), Sekolah Chung Ching Seria (Majalah Mekar), dan Sekolah St. Andrew's (Majalah Juara Pelajar).
Penganjuran majlis berkenaan turut mendapat sokongan dan tajaan daripada rakan-rakan korporat, iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Gedung Perniagaan Aman Jaya (Hua Ho Department Store), Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd., Entrek (B) Sdn. Bhd. (Jollibee Brunei), IBIC Sdn. Bhd. (SEHAT Water) dan Firoz Jaya Silkhouse Sdn. Bhd.
Menerusi inisiatif berkenaan, DBP berharap penggunaan majalah terbitannya sebagai bahan bacaan tambahan berkualiti dapat diperluas, di samping melahirkan penulis muda yang mahir menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif dengan penggunaan bahasa Melayu yang tepat serta berkesan.