Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
SERIA, Selasa, 17 November. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' bertempat di Conference Room, Lower Campus, Maktab Anthony Abell, Seria.
Taklimat disampaikan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Mohammad Nurakram bin Haji Noraini @ Bahrin, kepada 30 penuntut Tahun 7.
Turut hadir, Pengetua Maktab, Awang Steven Shim Sheau Huei, serta para tenaga pengajar.
Selain mendengarkan taklimat, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera' serta berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi menguji dan meningkatkan kefahaman mengenai kandungan taklimat.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Selain itu, ia juga dihasrat akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.