Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JERUDONG, Isnin, 16 November. - Kerjasama, pembelajaran bersama dan perkongsian pengalaman antara Negara Anggota ASEAN memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan institusi serta melahirkan Perkhidmatan Awam yang lebih cekap, responsif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Perkara tersebut ditekankan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Awang Norfarizal bin Othman selaku Pegawai Kanan Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Ketua-ketua dan Pemimpin ASEAN Network of Public Service Training Institutes (PSTI) bagi Tahun 2025-2026 yang berlangsung di Berkshire Hall, Royal Brunei Jerudong Polo Club, hari ini.
Dr. Awang Norfarizal yang juga hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menjelaskan bahawa perkhidmatan awam masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perkembangan pesat teknologi, perubahan iklim dan perubahan dalam masyarakat.
Menurutnya lagi, perkembangan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) menimbulkan persoalan mengenai tugasan yang boleh diserahkan kepada teknologi, kepentingan pertimbangan manusia dalam membuat keputusan serta keperluan memastikan institusi awam terus bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.
Sehubungan itu, para pegawai Perkhidmatan Awam perlu dilengkapi dengan kemahiran dan keyakinan untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya, di samping mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan.
Beliau turut menekankan bahawa inovasi dalam kerajaan bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi institusi awam untuk menangani cabaran baharu, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan memenuhi keperluan rakyat yang sentiasa berubah.
Jelas beliau, inovasi yang bermakna tidak hanya bergantung kepada penggunaan teknologi, sistem baharu atau pembaharuan dasar, malah bermula daripada keupayaan individu, kesediaan menerima perubahan serta kebolehan menterjemahkan idea kepada penyelesaian praktikal.
Oleh itu, terangnya, institusi latihan Perkhidmatan Awam mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan program pembelajaran dan pembangunan kekal relevan dengan perubahan tuntutan Perkhidmatan Awam, khususnya melalui pengukuhan kemahiran pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pembelajaran berasaskan pengalaman serta perkongsian pengetahuan merentas institusi dan negara.
Beliau juga berharap mesyuarat berkenaan dapat menghasilkan penilaian yang jelas terhadap pencapaian dan pengajaran sepanjang tempoh kepengerusian NBD bagi Tahun 2025-2026, keputusan yang membina terhadap cadangan yang dibentangkan serta saranan praktikal untuk memandu kerjasama rangkaian berkenaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pindaan kepada Terma Rujukan ASEAN PSTI Network tidak menerima sebarang bantahan daripada anggota Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ACCSM (SOM-ACCSM), sekali gus mencerminkan sokongan berterusan Negara-negara Anggota ASEAN terhadap peranan rangkaian tersebut.
Mesyuarat selama dua hari, bermula 16 hingga 17 November 2026 itu dianjurkan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan membawa tema 'Driving Innovation in Government'.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan ketua-ketua institusi latihan perkhidmatan awam serta delegasi daripada Negara-negara Anggota ASEAN, negara pemerhati Republik Demokratik Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN bagi memperkukuh pentadbiran awam, meningkatkan jaminan kualiti latihan serta menggalakkan kerjasama strategik di rantau ini.
Sementara itu, pada sesi pembukaan mesyuarat, Pengarah IPA, Dr. Dayang Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh, selaku Ketua Penyelaras ASEAN PSTI Network bagi Tahun 2025-2026, membentangkan laporan pencapaian sepanjang tempoh dua tahun kepengerusian NBD.
Antara pencapaian utama yang diketengahkan termasuk penyertaan rasmi Republik Demokratik Timor-Leste dalam ASEAN PSTI Network Terms of Reference (TOR), pembentangan laporan negara mengenai amalan jaminan kualiti dan akreditasi dalam kalangan institusi anggota, serta penghasilan logo rasmi dan buku penerangan ASEAN PSTI Network.
Mesyuarat turut mendengarkan pembentangan cadangan Republik Indonesia bertajuk 'ASEAN Guiding Principles for Quality Assurance of Training and Recognition Arrangement with the ASEAN Network of PSTIs'.
Cadangan berkenaan bertujuan menyediakan rangka kerja bagi penyelarasan standard latihan dalam kalangan institusi Perkhidmatan Awam Negara-negara Anggota ASEAN.
Program ini turut merangkumi lawatan pembelajaran berasaskan pengalaman ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 17 November, diikuti dengan jamuan tengah hari bagi mengeratkan jaringan kerjasama antara delegasi.
ASEAN PSTI Network ditubuhkan bagi menggalakkan kerjasama dan pertukaran pengetahuan antara institusi latihan perkhidmatan awam dalam bidang pembelajaran serta pembangunan tenaga kerja, sekali gus menyokong transformasi pentadbiran awam di rantau Asia Tenggara.
Penubuhannya telah diperakukan pada Mesyuarat Ketua-ketua Perkhidmatan Awam ACCSM Ke-19 di Republik Singapura pada 25 Oktober 2018.
Kepengerusian rangkaian berkenaan dilaksanakan secara bergilir bagi tempoh dua tahun, bermula dengan Republik Singapura pada 2019-2020, Thailand pada 2021-2022, Republik Sosialis Viet Nam pada 2023-2024 dan NBD pada 2025-2026, sebelum diteruskan oleh Kemboja bagi penggal 2027-2028.