Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 November. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) baru-baru ini menerima kunjungan kerja delegasi Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) selama dua hari, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan nuklear dan radiasi.
Kunjungan kerja tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad, diikuti dengan ucapan daripada Ketua Pengarah Atom Malaysia, Dayang Hajah Noraishah binti Pungut.
Semasa mesyuarat kerja tersebut, SHENA dan ATOM Malaysia bertukar pandangan mengenai aspek keselamatan dan sekuriti nuklear serta sinaran radiasi, termasuk amalan kawal selia.
Perbincangan turut meneroka peluang kerjasama teknikal, termasuk pembangunan kapasiti, perkongsian pengetahuan dan pengukuhan keupayaan institusi.
Antara perkara utama mesyuarat adalah perbincangan mengenai cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara SHENA dan Atom Malaysia. Kedua-dua pihak meneliti draf MoU tersebut, membincangkan perkara teknikal dan perundangan yang masih dalam pertimbangan serta menimbang langkah susulan dalam proses semakan draf berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan tersebut, delegasi Atom Malaysia turut mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Menteri Yang Bertanggungjawab bagi SHENA.
Delegasi tersebut turut melawat Makmal Perkhidmatan Dosimetri Radiasi (RDSL) SHENA dan Sistem Amaran Awal Radiasi SHENA. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk mengetahui lebih lanjut tentang keupayaan Negara Brunei Darussalam dalam memantau pendedahan kepada sinaran di tempat kerja dan mengesan perubahan paras sinaran dalam persekitaran.
Kunjungan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan SHENA dan Atom Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama kawal selia, demi mencapai matlamat bersama untuk melindungi pekerja, orang awam dan alam sekitar.