Memperkukuh kefahaman, penghayatan masyarakat terhadap falsafah MIB

20 Nov 2026 - 6:21am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Azmah Haji Ahad

BELAIT, Khamis, 19 November. - Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 bagi Daerah Belait, yang merupakan salah satu pengisian Majlis Ilmu sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun telah diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait, hari ini.

Forum yang bertajuk ‘MIB : Bukan Sekadar Slogan, Ini Cara Hidup Kitani’ membincangkan kepentingan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan seharian, serta peranannya dalam memperkukuh identiti, perpaduan dan jati diri masyarakat Negara Brunei Darussalam (NBD).

Forum berkenaan merupakan sebahagian daripada Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 yang diadakan di keempat-empat daerah, selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Melayu Islam Beraja : Tonggak Kedaulatan Negara’, yang menekankan kepentingan falsafah MIB sebagai asas dalam memelihara kedaulatan dan identiti negara. Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat ialah Peguam Negara, Pejabat Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib.

Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu 2026.

Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani selaku Pengerusi bagi Forum Majlis Ilmu 2026 Daerah Belait dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para jemputan khas.

Forum berkenaan dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kerajaan, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung, wakil-wakil sektor swasta, ahli akademik, penuntut institusi pengajian tinggi, golongan belia, ahli-ahli persatuan serta masyarakat setempat.

Forum tersebut menampilkan tiga ahli panel iaitu Penolong Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Abdul Manaf @Muhammad Zulfikri bin Haji Japar dan Dekan Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Awang Abdul Hai bin Haji Julay serta Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, Dr. Dayang Hajah Asiyah Az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh.

Forum berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Dekan, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Muhammed Sahrin bin Haji Masri selaku moderator.

Sesi forum turut disusuli dengan sesi soal jawab yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ahli-ahli panel mengenai penghayatan dan pengamalan falsafah MIB dalam kehidupan seharian.

Penganjuran forum ini diharap akan terus menjadi wadah dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap falsafah MIB, di samping menyemarakkan budaya ilmu serta memupuk kesedaran bersama mengenai tanggungjawab memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan NBD.