Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 November. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Siri Sesi Libat Urus bersama para profesional kesihatan sejak April 2026 bagi memperkukuh pengenalpastian, rujukan dan pelaporan penyakit pekerjaan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sesi-sesi tersebut telah dilaksanakan melalui Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan Sesi Libat Urus di pelbagai institusi serta perkhidmatan kesihatan termasuk Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Hospital Suri Seri Begawan, Perkhidmatan Kesihatan Asasi, Pusat Pemeriksaan Kesihatan (Kesihatan Awam dan Perubatan Pekerjaan) serta Pusat Perubatan Jerudong Park.
Sesi-sesi ini telah melibatkan kira-kira 300 profesional kesihatan, termasuk pengamal perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan kakitangan kesihatan lain yang berkaitan.
Sesi Libat Urus ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit pekerjaan dan penyakit berkaitan pekerjaan, menekankan kepentingan mendapatkan sejarah pekerjaan pesakit, memberikan penjelasan mengenai tatacara rujukan serta memperkukuh kefahaman mengenai kewajipan pengamal perubatan untuk melaporkan penyakit pekerjaan di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (Pelaporan Insiden) (Workplace Safety and Health (Incident Reporting) Regulations).
Pada tahun 2025, NBD mencatatkan kadar kejadian penyakit pekerjaan sebanyak 4.50 bagi setiap 100,000 pekerja. Sejak tahun 2017, sejumlah 135 kes penyakit pekerjaan dan penyakit berkaitan pekerjaan telah dilaporkan, dengan tiga jenis penyakit yang paling kerap dilaporkan ialah kehilangan pendengaran akibat bunyi bising, dermatitis pekerjaan dan gangguan muskuloskeletal berkaitan pekerjaan.
Angka-angka ini menunjukkan kepentingan usaha berterusan untuk meningkatkan pengenalpastian penyakit serta menangani kemungkinan kes yang tidak dilaporkan.
Pengenalpastian awal, rujukan yang bersesuaian dan pelaporan yang tepat pada masanya adalah penting bagi membolehkan langkah-langkah intervensi dilaksanakan di tempat kerja, mencegah pendedahan lanjut kepada bahaya serta melindungi kesihatan pekerja.
SHENA dan Bahagian Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh kerjasama dengan pengamal perubatan, termasuk meneroka peluang untuk mengadakan sesi libat urus selanjutnya bersama klinik-klinik pakar bagi meningkatkan keupayaan dalam pengenalpastian, rujukan dan pelaporan penyakit pekerjaan. Bersama-sama, kita berusaha ke arah mewujudkan tempat kerja yang lebih sihat dan selamat di NBD.