Memperkukuh kefahaman mengenai akidah Ahli Sunnah Waljamaah

17 Nov 2026 - 5:09am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

KAMPUNG SALAMBIGAR, Isnin, 16 November. - Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Salambigar dengan kerjasama Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengendalikan Forum Pengukuhan Aqidah bagi AJKT Masjid, jemaah, Muslimah Masjid serta pegawai-pegawai kerajaan dan swasta bagi Daerah Brunei dan Muara di Masjid Kampung Salambigar.

Forum ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman para peserta mengenai akidah Ahli Sunnah Waljamaah, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara kesucian aqidah dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia moden, khususnya pengaruh media sosial dan penyebaran maklumat agama yang tidak tepat.

Forum berkenaan menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Awang Mohammad Nasyith bin Superi; Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abd. Muluk dan Pemangku Pegawai Ugama Kanan, PDI, Pengiran Hajah Norhayati binti Pengiran Haji Kashran. Forum tersebut dikendalikan oleh Awangku Muhammad Ridhauddin bin Pengiran Mohd. Amin selaku moderator.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk kepentingan akidah Ahli Sunnah Waljamaah, cabaran media sosial terhadap kefahaman agama, fahaman liberalisme, pluralisme dan ekstremisme serta usaha menangani kekeliruan akidah dalam masyarakat masa kini.

Program ini juga akan menyediakan sesi dialog interaktif dan soal jawab bagi memberi peluang kepada para peserta berinteraksi secara langsung dengan ahli panel serta mendapatkan penjelasan mengenai isu - isu akidah semasa.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada Ahli Panel Forum ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Melalui penganjuran forum ini, diharapkan para peserta akan memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai prinsip-prinsip aqidah serta berupaya menghadapi cabaran pemikiran semasa dengan berlandaskan ajaran Islam yang sahih.

Di samping itu, program ini dihasratkan dapat memperkasa peranan AJKT Masjid dan Muslimah Masjid sebagai pemimpin dan pendidik serta agen dakwah dalam masyarakat.