Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Bagi memperkukuhkan daya tahan infrastruktur terhadap perubahan iklim, dalam persediaan menghadapi kejadian cuaca ekstrem serta mengurangkan risiko banjir, Kementerian Pembangunan telah mengambil pendekatan yang lebih proaktif dengan memperkukuh daya tahan sistem saliran dan mitigasi pencegahan banjir.
Setakat ini, Kementerian Pembangunan berjaya mengurangkan keluasan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir daripada 285 kilometer persegi kepada 283 kilometer persegi, iaitu pengurangan seluas 200 hektar.
Dengan siapnya projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-12, keluasan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir dijangka terus dapat dikurangkan kepada 281 kilometer persegi.
Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ulasan mengenai keutamaan kedua, iaitu menyediakan asas yang berdaya tahan dan efisien pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, antara projek strategik yang sedang dilaksanakan termasuk Pertama, Projek mengorek dan melebarkan sungai-sungai utama, anak-anak sungai dan kolam takungan di Negara Brunei Darussalam yang telah bermula pada 21 Februari 2026 dan dijangka siap pada 20 Februari 2029, melibatkan kerja-kerja pengorekan di kawasan Sungai Pepakan, Sungai Danau hingga Kuala Sungai Tutong, Sungai Telamba dan Sungai Kelakas, sepanjang kira-kira 30.4 kilometer.
Selain itu, Projek Pengurusan Banjir Kampung Pasai dan Mulaut Fasa 1 yang kini berada dalam peringkat kajian awal dan akan melibatkan pembinaan sistem saliran sepanjang 4.4 kilometer, kongsi Yang Berhormat.
Turut dilaksanakan, tambah Yang Berhormat ialah kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di beberapa kawasan termasuk Jalan Pasir Berakas, Simpang 396 Kampung Sungai Akar dan Kampung Sungai Buloh yang kini dalam proses kebenaran tawaran.
Sementara itu, Projek Skim Pencegahan Banjir di Pekan Tutong dan Kampung Keriam yang bermula pada 25 Mac 2026 dan dijangka akan siap pada 24 Mac 2029 melibatkan pembinaan stesen pam banjir dan sistem saliran sebanyak 2.55 kilometer.
Ujar Yang Berhormat, di Daerah Belait, Projek Menaik Taraf Sistem Longkang kawasan Seria Belait Fasa 1 kini berada dalam peringkat tawaran dan akan meliputi kawasan Pekan Belait dan Kampung Mumong. Manakala Projek Drainage Improvement Works Phase 1 di Daerah Temburong yang bermula pada bulan Jun 2026 melibatkan kerja-kerja penaiktarafan sistem saliran di kawasan Bangar, khususnya di sekitar Sekolah Arab dan Masjid Utama Mohammad Salleh.
“Usaha ini bukan sahaja melindungi aset-aset awam dan kediaman rakyat, malah memastikan aktiviti ekonomi dapat diteruskan dengan lebih stabil,” jelas Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai rangkaian jalan raya sebagai pemangkin aktiviti ekonomi, Yang Berhormat berkata Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya juga terus memperkukuh keterhubungan rangkaian jalan raya dalam memastikan pergerakan rakyat, pengangkutan-pengangkutan barangan dan aktiviti logistik dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pencapaian tersebut dapat dilihat melalui rangkaian-rangkaian Lebuhraya Muara–Belait sepanjang 118 kilometer dan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien sepanjang 26.3 kilometer, ujar Yang Berhormat.
“Bagi meningkatkan lagi kecekapan rangkaian ini, sebanyak enam lokasi persimpangan telah dikenal pasti untuk pembinaan jejambat, selain projek pelebaran dan membaik pulih lebuh raya dan jalan-jalan utama sedia ada yang akan menyokong kawasan industri dan pelaburan negara seperti Jalan Utama Mentiri dan Jalan Utama Salambigar, Lebuhraya Muara Tutong dan Jalan Binglu dan Lebuhraya Tutong Telisai dan Jalan Sengkarai,” tambah Yang Berhormat.
Dalam pada itu, jelas Yang Berhormat, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan juga telah memastikan sebanyak 13 zon koridor industri dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang bersesuaian.
Kongsi Yang Berhormat, antara contoh yang diketengahkan ialah Zon Tanjung Kajar Industrial Area dengan jalan Lebuhraya Muara-Tutong dan Jalan Penghubung Tanah Jambu, Zon Lumapas Industrial Area dengan Jalan Lumapas dan Jalan Junjongan dan Zon Pekan Belait, Sungai Duhon dan Rasau Industrial Area melalui Lebuhraya Lumut – Belait, Jalan Singa Menteri dan Jalan Setia Diraja.