Memperkenalkan kemudahan, penawaran akademik STAHB

18 Nov 2026 - 7:17am

Berita dan Foto: Muhamad Khairul Hisyam Haji jaya

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. – Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB) terus memperkukuh peranannya sebagai satu-satunya institusi pendidikan prauniversiti persekolahan Arab di Negara Brunei Darussalam (NBD) menerusi penganjuran Hari Terbuka STAHB Tahun 2026.

Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar persekolahan Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) mengenai peluang pendidikan serta hala tuju akademik yang ditawarkan di institusi tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan Hari Terbuka berkenaan, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

Penganjuran program tersebut juga bertujuan untuk memperkenalkan kemudahan, jurusan dan mata pelajaran yang ditawarkan di STAHB, di samping memberi peluang kepada para pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai tawaran biasiswa, peluang pembiayaan serta laluan melanjutkan pengajian.

Program berkenaan turut disertai oleh Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan; Bahagian Biasiswa, Kementerian Pertahanan; Bahagian Biasiswa, Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta Bahagian Biasiswa, Brunei Shell Petroleum Company Sendirian Berhad.

Selain itu, turut mengambil bahagian ialah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Atur cara majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil agensi dan institusi yang mengambil bahagian, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan lawatan tetamu kehormat majlis ke reruai pameran bagi meninjau maklumat serta peluang pendidikan yang diketengahkan oleh agensi dan institusi yang mengambil bahagian.