Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
MULAUT, Khamis, 6 Ogos. - Dengan hasrat murni dalam sama-sama menzahirkan rasa syukur, kasih dan taat setia Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, sehubungan itu Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut pagi tadi mengadakan Majlis Bacaan Ratib Al-Attas dan Tazkirah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis yang diadakan di Masjid Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Kampung Mulaut ini juga bertujuan bagi terus membudayakan amalan bacaan Ratib Al-Attas dalam kehidupan seharian, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid.
Tazkirah pada majlis berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, JHEM, KHEU, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin. Manakala bacaan Ratib Al-Attas dipimpin oleh Tenaga Pembimbing Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut, Dayangku Norhidayati binti Pengiran Haji Othman. Sementara persembahan bacaan selawat oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Pehin Khatib, Kampung Kulapis.
Dengan penganjuran majlis berkenaan, ia diharapkan agar dapat menyemai rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui penghayatan amalan zikir dan wirid, di samping memperkukuhkan semangat patriotisme, kasih sayang serta taat setia kepada raja dan negara.
Majlis ini juga diharap dapat mempereratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid serta terus menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.