Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Tanah merupakan aset strategik negara yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi memandangkan kawasan yang sesuai untuk pembangunan adalah terhad.
Setiap pengurusan tanah perlu memberikan hasil yang terbaik kepada negara dalam membantu melahirkan lebih banyak peluang perniagaan serta menarik Pelaburan Langsung Asing.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ulasan mengenai keutamaan pertama iaitu mengoptimumkan penggunaan tanah pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, setakat ini sebanyak 213 tapak tanah dengan jumlah keluasan 17,239 hektar telah diperuntukkan untuk pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor keselamatan makanan melalui pembangunan kawasan pertanian strategik dan ‘agroparks’; industri hiliran minyak dan gas melalui penyediaan kawasan perindustrian yang sesuai; sektor pelancongan melalui pembangunan kawasan berpotensi; sektor infokomunikasi dan teknologi; serta sektor logistik dan perkhidmatan.
Daripada jumlah tersebut jelas Yang Berhormat, secara menyeluruh sebanyak 66 peratus telah pun dimajukan. Sebagai contoh, seluas 4,443 hektar telah diperuntukkan untuk sektor industri, di mana 87 peratus daripadanya telah diusahakan.
“Dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perancangan guna tanah, khususnya bagi menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara, kementerian melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah mengenal pasti kawasan baharu seluas 17, 526 hektar yang berpotensi untuk dimajukan,” jelas Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat sebagai contoh, sebanyak 3,324 hektar daripada tanah baharu tersebut dikhususkan bagi sektor pengangkutan yang menyokong usaha meningkatkan kapasiti logistik negara. Ini termasuk tanah bagi pembesaran Pelabuhan Muara dan jalan pengangkutan barang bagi memudahkan laluan perdagangan.
“Dalam memastikan tanah negara kekal produktif, Kementerian Pembangunan turut mengenal pasti sebanyak 52 keping tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) seluas 903 hektar bagi menangani isi tanah yang tidak produktif untuk diambil balik oleh kerajaan.
“Tapak-tapak berkenaan akan dimanfaatkan bagi kegunaan lain seperti perniagaan, perumahan dan industri sebelum tahun 2035,” tambah Yang Berhormat.