Memastikan perancangan bergerak satu arah, menghasilkan keputusan nyata

6 Og 2026 - 4:59am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Memperkukuhkan Key Performance Indicator (KPI) rentas kementerian yang berasaskan hasil dan impak kepada rakyat; membangunkan ekonomi komuniti dengan mengenal pasti potensi setiap kampung dan mukim; memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan supaya mampu berkembang, menjadi pembekal industri dan menembusi pasaran eksport; menyelaraskan pendidikan dan tenaga manusia dengan keperluan ekonomi masa hadapan, termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi digital; memperkukuhkan keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan pencegahan scam serta memastikan setiap dasar dan perancangan pembangunan mempunyai ukuran keberhasilan yang jelas merupakan enam perkara utama yang digariskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong semasa menyatakan sokongan terhadap usaha penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Sokongan ini terhadap usaha penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 jelas Yang Berhormat lagi adalah khususnya melalui pendekatan yang lebih tersusun, bersepadu dan melibatkan kerjasama merentas kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

Terdahulu, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz berkata, langkah tersebut amat bertepatan kerana pencapaian Wawasan Brunei 2035 bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja. Pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation perlu diterjemahkan melalui penyelarasan yang benar-benar menghasilkan impak kepada rakyat.

"Negara telah mempunyai pelbagai kerangka pembangunan seperti Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, Economic Blueprint, Manpower Blueprint dan Social Blueprint. Cabaran kita kini bukan semata-mata kekurangan dasar, tetapi memastikan kesemua perancangan tersebut bergerak dalam satu arah, tidak bertindih dan menghasilkan keputusan yang nyata.

"Sehubungan itu, kaola mencadangkan supaya diwujudkan KPI rentas kementerian yang mengukur hasil bersama, khususnya dalam bidang pekerjaan anak tempatan, pembangunan ekonomi, pelaburan dan peningkatan pendapatan rakyat.

"Sebagai contoh, sasaran meningkatkan pekerjaan anak tempatan memerlukan penyelarasan antara pendidikan, kemahiran, ekonomi, pelaburan, industri dan dasar tenaga kerja," kata Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyentuh mengenai ekonomi di peringkat akar umbi. Mukim dan kampung mempunyai potensi dalam pertanian, perikanan, makanan, kraf tangan, kebudayaan, pelancongan, perkhidmatan dan ekonomi digital. Maka, Yang Berhormat mencadangkan supaya dipertimbangkan pendekatan Ekonomi Komuniti, dengan mengenal pasti potensi setiap kampung dan mukim serta memperkukuhnya melalui pembangunan kapasiti, sokongan kewangan, inovasi digital, pengukuhan jenama (rebranding) dan perluasan pasaran.

Dalam masa yang sama, PMKS tempatan tegas Yang Berhormat perlu diberikan ruang untuk berkembang dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat-syarikat besar, industri hiliran dan projek kerajaan. Matlamat kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak perniagaan, tetapi memastikan PMKS mampu bertahan, berkembang, menyediakan pekerjaan dan menembusi pasaran eksport.

Selain itu, pembangunan ekonomi juga tegas Yang Berhormat juga perlu disokong oleh tenaga manusia yang bersedia menghadapi masa hadapan. Dengan perkembangan AI, automasi, data dan teknologi digital, kita perlu memastikan pendidikan dan latihan sentiasa selari dengan keperluan industri.

"Kaola mencadangkan supaya kerjasama antara institusi pendidikan, kerajaan dan industri diperkukuhkan melalui latihan berasaskan industri, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, khususnya dalam bidang AI, data, teknologi digital dan keselamatan siber.

"Malahan, dalam memperluaskan ekonomi digital, keselamatan siber dan perlindungan data peribadi juga tidak boleh diketepikan. Data rakyat yang dikumpulkan dan diproses, termasuk melalui penyedia perkhidmatan di luar negara, perlu mempunyai perlindungan dan kawalan yang sewajarnya.

"Perkara ini penting bagi melindungi rakyat daripada kebocoran data, pencurian identiti, penipuan kewangan dan penyamaran. Pada masa yang sama, ancaman scam dan penipuan dalam talian semakin canggih," kata Yang Berhormat.

Oleh itu, Yang Berhormat menekankan, penyelarasan antara pihak berkuasa, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan digital perlu terus diperkukuhkan, termasuk mekanisme amaran dan tindak balas pantas bagi melindungi rakyat.

"Jika kita melihat kepada tiga bidang penyelarasan yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, iaitu keselamatan negara, dasar-dasar ekonomi serta dasar-dasar sosial dan tenaga manusia, ketiga-tiganya sebenarnya saling berkait. Keselamatan menyediakan kestabilan, ekonomi menyediakan peluang dan sumber, manakala pembangunan sosial serta tenaga manusia memastikan rakyat mempunyai kemahiran, pekerjaan dan kesejahteraan.

"Maka, kejayaan penyelarasan ini perlu diukur bukan hanya melalui jumlah program atau aktiviti, tetapi melalui hasil yang dirasai rakyat. Apakah pekerjaan anak tempatan bertambah? Apakah PMKS semakin berkembang? Apakah pelaburan menghasilkan nilai tambah dan pekerjaan tempatan? Adakah manfaat pembangunan sampai ke kampung dan mukim? Dan dalam ekonomi digital, adakah rakyat lebih selamat daripada ‘scam’ serta penyalahgunaan data?," ujar Yang Berhormat lagi.

Dalam pada itu, Yang Berhormat menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda memperkenankan pelantikan Menteri-menteri Penyelaras.

Yang Berhormat percaya mekanisme ini dapat memperkukuhkan penyelarasan pembangunan negara supaya segala dasar, perancangan dan sumber dapat bergerak dalam satu arah dan menghasilkan manfaat yang nyata kepada rakyat. Mudah-mudahan di bawah kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Muli Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus bergerak menuju sebuah negara yang maju, berdaya tahan, selamat, sejahtera dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Selain daripada itu Yang Berhormat juga menyambut baik langkah kerajaan dalam menyusun semula kedudukan JobCentre Brunei (Pusat Pekerjaan Brune]i) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan berharap perubahan ini bukan sekadar dari segi struktur pentadbiran, tetapi dapat memperkukuhkan fungsi JobCentre dalam memadankan anak tempatan dengan peluang pekerjaan, meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran, serta memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dimanfaatkan oleh tenaga kerja tempatan.

"Pada akhirnya, keberkesanan langkah ini hendaklah dapat dilihat melalui hasil yang nyata - lebih ramai anak tempatan mendapat pekerjaan, membina kerjaya yang stabil dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta pencapaian Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat lagi.