Siaran Akhbar dan Foto : PUJA (B) Academy Sendirian Berhad
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 November. - PUJA (B) Academy Sendirian Berhad telah menganjurkan seminar bertajuk ‘Evolusi Lampu Jalan : Daripada Pencahayaan kepada Bandar Pintar dan Mampan’ bertempat di Dewan Kuliah 3, Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Seminar yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah menarik seramai 63 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Pejabat Daerah Temburong dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, serta sektor swasta, perunding dan ahli PUJA.
Para peserta telah diberikan 3 mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD). Inisiatif ini selaras dengan salah satu objektif teras strategik PUJA iaitu meningkatkan kualiti kompetensi profesional serta memperkembangkan kemahiran dan pemindahan ilmu pengetahuan.
Seminar dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan PUJA (B) Academy Sdn. Bhd., Ir. Dayang Hajah Fatimah binti Haji Md. Ali, yang mengalu-alukan kehadiran para peserta serta merakamkan penghargaan kepada pihak UTB atas kesudian menjadi tuan rumah bagi acara tersebut. Ucapan alu-aluan seterusnya disampaikan oleh Tay Shieh Cherng.
Seminar ini telah disampaikan oleh Jurutera Mekanikal di Straits Design, Yap Khai Ming. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Niigata, Jepun serta berpengalaman dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan di seluruh Asia dan Latin Amerika.
Dengan pengkhususan dalam penyelesaian pencahayaan Diod Pemancar Cahaya (LED), sokongan teknikal dan projek pencahayaan awam, Yap Khai Ming telah berkongsi pandangan praktikal berdasarkan pengalamannya dalam pemasangan sistem pencahayaan LED pintar, penyelenggaraan, penyelesaian masalah teknikal dan penyelarasan projek, termasuk projek-projek yang melibatkan lebuh raya utama dan jambatan di Malaysia.
Seminar ini membincangkan kepentingan pencahayaan jalan raya, termasuk fakta bahawa kadar kemalangan dalam keadaan gelap adalah kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada waktu siang. Pencahayaan yang baik juga berperanan dalam membantu mengurangkan kadar jenayah serta menyokong aktiviti perdagangan pada waktu malam.
Yap Khai Ming turut menekankan bahawa tahap kecerahan tidak semestinya menjamin penglihatan yang baik, memandangkan keseragaman pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam membantu pengguna jalan raya mengenal pasti sebarang bahaya.
Beliau turut mengupas peralihan teknologi pencahayaan daripada lampu wap natrium tekanan tinggi (HPSV) kepada lampu LED, dengan mengetengahkan satu kajian kes yang menunjukkan penjimatan penggunaan tenaga keseluruhan sehingga 70 peratus.
Selain itu, beliau menjelaskan kepentingan kualiti lampu jalan serta membincangkan penggunaan lampu berkuasa solar dan sistem kawalan pintar berasaskan Internet of Things (IoT). Teknologi ini menyokong matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta konsep Society 5.0.
Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai topik yang dibincangkan.
Penganjuran seminar ini juga menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 melalui penerapan sistem pintar dan cekap tenaga bagi memastikan infrastruktur awam terus mampan dan berdaya tahan.
Seminar ini mencerminkan komitmen berterusan PUJA (B) Academy Sdn. Bhd. dalam memperkasakan ahli-ahlinya dengan kemahiran praktikal yang relevan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Inisiatif ini sekali gus memperkukuh misi organisasi dalam meningkatkan kesedaran, memperluas pengetahuan serta memperkaya pengalaman dalam kalangan komuniti profesional di Negara Brunei Darussalam.