Melahirkan generasi celik Al-Quran melalui pembudayaan amalan membaca

15 Nov 2026 - 4:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BELAIT, Sabtu, 14 November. - Majlis-majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan di sekolah-sekolah Arab di negara ini merupakan antara usaha berterusan dalam menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran serta membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan berugama.

Penganjuran majlis seumpama berkenaan juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam memartabatkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Sekolah Arab Belait mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada pagi tadi bagi meraikan seramai 28 pelajar Sanah 6 yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Daripada jumlah tersebut, 14 orang merupakan pelajar lelaki dan 14 orang lagi pelajar perempuan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim dan Doa Khatam oleh Awangku Muhammad Haziq bin Pengiran Sahbillah.

Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Awang Ahmad Za’aim bin Haji Bagol.