Mantapkan mutu pembacaan, pemahaman surah

20 Nov 2026 - 5:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Al-Muflihun Learning, Private Quran Teacher

BELAIT, Khamis, 19 November. - Dalam menyebarluaskan lagi usaha untuk membantu para mualaf dan warga Islam mahir dalam pembacaan Al-Quran, Al-Muflihun Learning dan PQT | Private Quran Teacher dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Liang baru-baru ini mengadakan Program Bimbingan Muallaf Siri Ke-3 : Pengukuhan Al-Quran yang memfokuskan kepada melancarkan bacaan Surah Al-'Asr.

Program yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang tersebut merupakan usaha dan inisiatif berterusan oleh pihak Al-Muflihun Learning dan PQT | Private Quran Teacher dalam memeduli warga muallaf serta masyarakat awam.

Hadir bagi menyampaikan sesi pengajaran adalah Pengasas Al-Muflihun Learning, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar dan Pengasas PQT | Private Quran Teacher, Dayang Nur Darwismah binti Dahari.

Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada masyarakat mualaf, termasuk warga Islam asal dan bukan Islam merentasi keempat-empat daerah telah pun menyertai program ini.

Melalui penyertaan daripada berbilang masyarakat ini, jelas menunjukkan kegigihan serta ketekunan masyarakat untuk menimba ilmu, khususnya dalam memantapkan lagi mutu pembacaan serta pemahaman surah yang dipelajari.

Antara pengisian sepanjang program adalah pengenalan ringkas mengenai dengan Surah Al-'Asr serta memahami akan isi kandungannya dengan penerapan bahasa Arab interaktif.

Pembacaan secara berulang-ulang juga dilaksanakan dalam memastikan peserta bukan sekadar hafal tapi boleh membaca dengan sebaiknya.

Selain daripada itu juga, peserta program turut diberikan pengukuhan huruf hijaiyah sebagai asas bagi mencapai tahap pembacaan yang sempurna.

Setelah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat mualaf dan warga Islam asal, program pada kali ini turut diserikan dengan penglibatan pensyarah dan mahasiswa mahasiswi daripada Fakulti Bahasa Arab dan Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang mana sesi pembelajaran interaktif bahasa Arab turut disampaikan bagi menarik minat para peserta program untuk mempelajari bahasa Arab.

Memfokuskan kepada aktiviti perbualan harian bahasa Arab, peserta turut didedahkan dengan kosa kata bahasa Arab bagi menambah lagi dapat peserta dan dalam masa yang sama, mempromosikan pembelajaran bahasa Arab kepada masyarakat awam.

Turut hadir dalam program tersebut ialah dua pegawai daripada UNISSA iaitu Penolong Pensyarah daripada Fakulti Bahasa Arab, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Abdul Karim dan Pensyarah daripada Fakulti Usuluddin, Dayang Hajah Nurol Halimatul Wara' binti Haji Mumin.