Oleh : Khartini Hamir
Foto : Ihsan Majlis Kesejahteraan Masyarakat
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Malam Prihatin anjuran Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila tiket-tiket bagi acara tersebut telah habis terjual.
Acara makan malam itu turut diserikan dengan persembahan hiburan oleh artis-artis tempatan.
Yang Dipertua MKM, Awang Mohd. Yusof Shaik Abdul Halim berkata, acara Malam Prihatin adalah bagi menyokong usaha dan perjuangan MKM.
Ditubuhkan pada tahun 2009, MKM komited dalam memberikan khidmat dan bantuan kepada golongan yang menghadapi kesusahan di Negara Brunei Darussalam di samping memperluaskan misi kemanusiaan hingga ke luar negara.
"Terima kasih kerana sudi bersama-sama kami pada malam ini serta membantu menterjemahkan keprihatinan terhadap insan yang memerlukan kepada bentuk sokongan dan bantuan yang nyata," ujarnya.
Asas kepada segala usaha ini, tambahnya, berlandaskan satu keyakinan yang sederhana tetapi amat bermakna, iaitu sesebuah masyarakat akan menjadi lebih kuat apabila setiap ahlinya mengambil berat terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
"Kemiskinan tidak seharusnya menghilangkan maruah seseorang mahupun menjadikan harapan mereka sukar untuk dicapai.
"Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang sedang menghadapi kesusahan, kita bukan sahaja meringankan beban mereka pada hari ini, malah turut memberikan dorongan dan harapan untuk mereka melangkah ke hari esok dengan lebih yakin," terangnya lagi.
Pada masa ini, MKM mempunyai lebih daripada 400 buah keluarga berdaftar di seluruh negara yang berada di bawah perhatian dan jagaannya.
Setiap keluarga mempunyai kisah kehidupan dan beban tersendiri yang mungkin tidak diketahui oleh orang lain. Justeru, MKM berusaha membantu mereka dengan penuh rasa hormat, keprihatinan dan kefahaman agar mereka dapat mengharungi kesukaran hidup serta membina masa depan yang lebih terjamin.
Pendidikan pula kekal menjadi salah satu keutamaan utama MKM, di mana sejak tahun 2015, MKM telah menyediakan sarapan pagi kepada 300 orang murid sekolah di negara ini pada setiap hari persekolahan.
Selain itu, MKM turut membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan percuma serta memberikan bantuan berupa buku, pakaian seragam sekolah dan pengangkutan ke sekolah.
Keperluan asas yang kelihatan sederhana ini sebenarnya mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang. Antaranya, memastikan seorang anak dapat hadir ke sekolah dengan lebih bersedia untuk belajar, meringankan beban ibu bapa dan memastikan peluang pendidikan mereka terus terpelihara.
Sejak tahun 2018, MKM juga telah memberikan sokongan kepada sebuah kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Republik Rakyat Bangladesh. Di sana, MKM mengendalikan sebuah sekolah yang menyediakan pendidikan kepada kira-kira 400 orang pelajar.
Bagi kanak-kanak ini, bilik darjah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah menjadi ruang untuk mereka membina keyakinan diri, merasai kehidupan yang lebih terjamin serta mengimpikan masa depan yang lebih baik di sebalik kesusahan yang mereka hadapi.
Usaha bantuan MKM turut merangkumi penyediaan bekalan makanan asas setiap bulan kepada 80 buah keluarga yang memerlukan.
Sepanjang bulan Ramadan pula, MKM menyediakan sebanyak 800 hidangan berbuka puasa setiap hari di Brunei Darussalam dan 1,000 hidangan sehari di Republik Rakyat Bangladesh.
Di samping itu, program pemerkasaan ekonomi yang dilaksanakan turut membantu keluarga menjana pendapatan tambahan, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk berdikari dan menyara kehidupan sendiri.
Melalui segala usaha ini, MKM bukan sahaja berhasrat meringankan kesusahan yang dihadapi pada masa kini, malah turut membantu golongan yang memerlukan untuk membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
Segala usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kemurahan hati dan keprihatinan semua pihak. Setiap sumbangan yang diamanahkan kepada MKM membawa tanggungjawab besar untuk disalurkan dengan penuh amanah, keikhlasan, ketelitian dan rasa tanggungjawab.