Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Kejohanan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 yang bermula secara rasmi pada 8 November lalu, melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Penutupan Rasmi yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penutupan rasmi kejohanan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja SKBD Ke-V, Tahun 2026; Timbalan Setiausaha Tetap; pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan di kementerian berkenaan; pegawai-pegawai daerah; Yang Dipertua dan Setiausaha Agung Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan; Ketua-Ketua Kontinjen; Pegawai-Pegawai Teknikal; pegawai-pegawai dari agensi kerajaan dan swasta; serta para atlet kontinjen termasuk atlet legenda negara.
Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Penganalisa Sukan, Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, sebelum diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat.
Bagi menghargai sumbangan dan sokongan pelbagai pihak, tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata penghargaan kepada Ketua-Ketua Kontinjen, Pegawai-Pegawai Teknikal dan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan, serta sijil penghargaan kepada sukarelawan, sukarelawan perubatan dan para penaja SKBD Ke-V, Tahun 2026.
Penyampaian berkenaan merupakan tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka sebagai rakan strategik yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
Kemuncak majlis ialah penyampaian anugerah berprestij kejohanan, iaitu Anugerah Olahragawan dan Olahragawati SKBD Ke-V, Tahun 2026.
Anugerah Olahragawan dinobatkan kepada Asher Nathan Liw Yiu Zhun, atlet renang dari Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD), manakala Anugerah Olahragawati pula dianugerahkan kepada Dayang Sharmeen binti Mohd. Mharvin, yang juga atlet renang dari kontinjen yang sama.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada kontinjen yang mencapai kedudukan terbaik dalam kejohanan.
Kontinjen MS SSBD muncul johan SKBD Ke-V, Tahun 2026 dengan kutipan 45 pingat emas, 22 pingat perak dan 25 pingat gangsa.
Naib johan disandang oleh Kontinjen Daerah Brunei dan Muara dengan 27 pingat emas, 34 pingat perak dan 28 pingat gangsa, manakala tempat ketiga menjadi milik Kontinjen Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan kutipan 21 pingat emas, lapan pingat perak dan 20 pingat gangsa.
Para hadirin turut menyaksikan tayangan video imbasan SKBD Ke-V, Tahun 2026 yang memaparkan kembali detik-detik manis, semangat perjuangan serta pencapaian para atlet sepanjang kejohanan berlangsung.
Majlis diakhiri dengan pengisytiharan penutupan rasmi SKBD Ke-V, Tahun 2026 oleh tetamu kehormat.
Secara keseluruhannya, penganjuran SKBD bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat dan meningkatkan prestasi atlet tempatan sebagai persediaan mewakili negara ke peringkat serantau dan antarabangsa, malah turut berperanan sebagai wadah penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh kerjasama serta membudayakan gaya hidup sihat ke arah melahirkan masyarakat yang produktif dan negara yang makmur.