Majlis konvokesyen COSMO raikan 439 graduan

15 Nov 2026 - 5:17am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 

JERUDONG, Sabtu, 14 November. - Cosmopolitan College of Commerce and Technology (COSMO) hari ini meraikan dua pencapaian penting sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 yang diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.

Majlis ini meraikan 439 graduan, di samping memperingati kejayaan bersejarah institusi tersebut yang dinobatkan sebagai 'Pearson BTEC Ambassador of the Year' (Duta Pearson BTEC Tahun Ini) pada Persidangan BTEC Connect Asia Pacific 2026 di Hanoi, Republik Sosialis Viet Nam, pada 11 November 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada para graduan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Dengan bertemakan 'Innovative Generation, Employable Nation', tema berkenaan mencerminkan komitmen institusi tersebut dalam melengkapkan belia Brunei dengan kemahiran praktikal yang memenuhi keperluan industri, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Membawa Kebanggaan Antarabangsa ke Brunei: 'Pearson BTEC Ambassador of the Year', majlis juga bagi meraikan pencapaian penting COSMO di persada antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Daniel Jeyasundrakumar, mewakili persidangan tersebut di Hanoi, Republik Sosialis Viet Nam dan COSMO telah diiktiraf sebagai 'Pearson BTEC Ambassador of the Year', menjadikannya institusi pertama dari Brunei Darussalam yang menerima anugerah tersebut.

Dipilih daripada 120 pusat BTEC di 13 pasaran Asia-Pasifik, anugerah ini mengiktiraf COSMO sebagai penanda aras serantau dalam kualiti akademik, verifikasi dalaman, pengajaran yang selaras dengan industri, serta pendidikan yang berpusatkan pelajar.

Pengerusi Eksekutif COSMO, Dr. Abdul Aziz bin Haji Abdul Latip dalam ucapannya pada majlis itu berkata pengiktirafan sebagai 'Pearson BTEC Ambassador of the Year' merupakan detik yang membanggakan, bukan sahaja bagi COSMO, malah bagi Brunei Darussalam.

"Amalan terbaik COSMO kini menjadi model bagi institusi pendidikan di seluruh rantau Asia-Pasifik. Bagi para graduan, ini bermakna mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan kelayakan yang disokong oleh piawaian kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat global.

"Kumpulan graduan tahun 2026 yang berjumlah 439 orang menerima Sijil, Diploma, dan Diploma Kebangsaan Tinggi (Higher National Diploma) dalam bidang Teknologi Maklumat, Perniagaan, Media Kreatif, Pengkomputeran, Keusahawanan, dan Hospitaliti," ujar beliau lagi.

Mengetengahkan impak nyata daripada pendekatan COSMO yang dipacu oleh industri, Dr. Abdul Aziz menekankan inisiatif institusi tersebut dalam melengkapkan para pelajar - seperti melalui Ekspo Kerjaya dwitahunan COSMO yang baru-baru ini menghubungkan pelajar secara langsung dengan 84 organisasi yang mengambil bahagian serta bengkel kerjaya 'Be Job Ready', perkongsian strategik, dan akreditasi antarabangsa daripada AI Board UK, AAT (Association of Accounting Technicians), L3C (Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah Kementerian Pendidikan, Brunei Darussalam), dan OTHM (Organisation for Tourism and Hospitality Management).

Ia juga selaras dengan visi Kementerian Pendidikan untuk memanfaatkan teknologi bagi mempertingkatkan keupayaan manusia dan pertimbangan kritis, COSMO secara rasmi mengumumkan dua inisiatif pendidikan utama iaitu pertama, Kursus Pendek Kecerdasan Buatan (AI): Dibangunkan dengan kerjasama AI Board UK untuk melengkapkan graduan baharu dan golongan profesional yang sedang bekerja dengan kecekapan praktikal dalam bidang AI.

Kedua, Kelayakan Pearson BTEC dalam bidang Kesihatan dan Penjagaan Sosial dilancarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat di Brunei yang semakin meningkat terhadap tenaga profesional yang terlatih dan berjiwa penyayang dalam sektor penjagaan kesihatan dan khidmat jagaan.

Selain aspek akademik dan kesediaan kerjaya, COSMO turut memberikan pengiktirafan kepada para pelajarnya yang telah mewakili Brunei dalam Program Pertukaran Belia Brunei-Korea, menyertai Liga AFC dan pasukan bola sepak kebangsaan B-20 (U-20), serta meraih gelaran naib juara dalam Pertandingan Pickleball Borneo Ke-2; di samping penglibatan berterusan dalam program khidmat masyarakat dan kempen derma darah.

Dalam majlis ini, para hadirin turut berpeluang melawat Pameran Projek Graduan, yang menampilkan penyelesaian digital dan kemasyarakatan hasil ciptaan pelajar, termasuk 'Career Space', 'Creative Career Navigator', dan 'Care Professionals'.

Dalam ucapan penutupnya, Dr. Abdul Aziz menyeru para pelajar kohort 2026, sama ada mereka akan terus memasuki alam pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei, mahupun universiti di luar negara agar sentiasa fleksibel, memegang teguh integriti peribadi, serta menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan sosioekonomi Brunei.