Majlis Kesyukuran sempena Penubuhan RB Ke-52

19 Nov 2026 - 6:27am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Rabu, 18 November. - Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (Royal Brunei Airlines - RB) mengadakan Majlis Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan RB Ke-52, yang diserikan dengan Sembahyang Berjemaah, Doa Hajat dan Tolak Bala, Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil serta Doa Kesyukuran, diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.

Acara tersebut berlangsung di Surau, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini. Penganjuran majlis berkenaan merupakan tanda kesyukuran dan penghargaan atas perjalanan serta pencapaian RB sepanjang 52 tahun penubuhannya.

Majlis tersebut dipimpin oleh Ketua Pegawai Risiko (Chief Risk Officer), Awang Kamal Ariffin bin Dato Paduka Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan RB bagi Sesi 2026-2028 bersama Ketua Pegawai Operasi (Chief Operations Officer), Awang Haji Badaruddin bin Haji Bagol.

Turut hadir, pihak pengurusan dan kakitangan RB serta beberapa pihak berkepentingan yang sama-sama memeriahkan majlis berkenaan.

RB ditubuhkan pada 18 November 1974 dan sejak itu memainkan peranan penting sebagai syarikat penerbangan kebangsaan dalam membawa nama Negara Brunei Darussalam ke persada antarabangsa, sekali gus menghubungkan negara ini dengan destinasi di seluruh dunia.