Ma’had Islam Brunei adakan Majlis Khatam Al-Quran

19 Nov 2026 - 6:32am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, ihsan Jabatan Pengajian Islam

TUTONG, Rabu, 18 November. - Bagi menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta membudayakan pembacaannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian, Ma’had Islam Brunei, Daerah Tutong mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Besar sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 130 pelajar Sanah 6 dan Sanah 11.

Daripada jumlah tersebut, 62 pelajar lelaki dan 68 pelajar perempuan telah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Penolong Ra’es I (Penyelidikan, Pengantarabangsaan dan Perkhidmatan), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Mohammad Faiz Nur Syakirin bin Mohammad Shah Ifolrizal serta persembahan Dikir dan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Khairul Nizam bin Hamdan. Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan antara usaha berterusan dalam membentuk generasi yang celik Al-Quran, istiqamah dalam pembacaannya serta menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan.

Penganjurannya turut mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam dalam memperkasa pendidikan Al-Quran dan menyemarakkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.