Kursus Staf Pertengahan 26/2026 labuh tirai

20 Nov 2026 - 6:12am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Ihsan Kementerian Pertahanan

TANAH JAMBU, Khamis, 19 November. - Kursus Staf Pertengahan 26/2026 telah melabuhkan tirainya hari ini dengan berlangsungnya Majlis Penutup di Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu.

Seramai 49 pegawai telah mengikuti kursus tersebut, terdiri daripada 41 pegawai ABDB, seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan tujuh pegawai tentera antarabangsa dari Republik Rakyat China, Kemboja, Republik Indonesia, Malaysia, Republik Filipina, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pengarah-pengarah tentera, komandan-komandan, Atase Pertahanan dan Penasihat Pertahanan dari negara-negara peserta, Wakil Kedutaan Diraja Kemboja, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

Dalam ucapannya, Pemerintah ABDB menekankan kepentingan mempersiapkan pegawai-pegawai untuk menghadapi persekitaran keselamatan yang sentiasa berkembang serta menyumbang kepada kesiapsiagaan operasi ABDB.

Beliau turut menekankan kepentingan kebolehsuaian, kompetensi profesional dan penggunaan Artificial Intelligence (AI) secara beretika, di samping terus mengamalkan pemikiran kritikal dan membuat pertimbangan yang wajar.

Beliau seterusnya mengetengahkan Program Bachelor of Defence and Security Studies (BDSS) yang akan dimulakan pada tahun 2027 melalui Sekolah Pegawai Kadet dengan kerjasama Fakulti Pengajian Ketenteraan (Faculty of Military Studies - FMS), Universiti Brunei Darussalam.

Kursus Staf Pertengahan (Intermediate Staff Course) juga akan diserapkan ke dalam program berkenaan secara berperingkat, sekali gus memperkukuh laluan pembelajaran sepanjang hayat bagi pegawai-pegawai ABDB.

Beliau juga menyeru para peserta agar mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus, mengekalkan profesionalisme dan integriti serta memberikan sumbangan bermakna kepada organisasi masing-masing.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil tamat kursus dan penganugerahan kecemerlangan kepada peserta-peserta kursus oleh Pemerintah ABDB.

Anugerah Overall Best Student dan Anugerah Best Service Paper telah dimenangi oleh 1257 Kapten Hajah Siti Syafiqah 'Afifah binti Haji Ahmad Mahyuddin dari Kementerian Pertahanan. Sementara itu, Anugerah Commander RBAF's Paper disandang oleh 1215 Kapten Nabilah Afifah binti Haji Said dari Tentera Darat Diraja Brunei.

Kursus selama 14 minggu ini dirangka bagi mempersiapkan pegawai berpangkat Kapten / Leftenan Tentera Laut Diraja Brunei untuk menggalas peranan dan tanggungjawab sebagai pegawai staf, sama ada di peringkat angkatan masing-masing mahupun dalam persekitaran operasi bersama.

Modul kursus menumpukan kepada pembangunan kemahiran pemikiran analitikal, komunikasi, kepimpinan dan perancangan operasi, di samping memperkukuh pemahaman para peserta terhadap strategi ketenteraan, keselamatan dan persekitaran operasi yang sentiasa berkembang.