Khatam Al-Quran raikan 110 pelajar Tahun 11 SMSSA

22 Nov 2026 - 6:13am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Seramai 110 pelajar Tahun 11, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan. Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas kejayaan para pelajar menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah.

Selain itu, majlis berkenaan bertujuan untuk menyemai rasa cinta terhadap Al-Quran, menghargai usaha para pelajar dalam mendalami dan menghayati kitab suci tersebut serta menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengetua SMSSA, Dayang Hajah Noor Zinatul Ashiqin binti Haji Ibrahim. Turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Penjaga (PIBG), Dayang Hajah Karmila binti Haji Sapar, guru-guru serta ibu bapa kepada para pelajar yang diraikan. Daripada jumlah keseluruhan peserta khatam, seramai 46 pelajar lelaki dan 64 pelajar perempuan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Sheikh Al Hasyir bin Sheikh Al Idrus, pelajar dari Tahun 11SC2, diikuti bacaan surah-surah lazim bermula daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas oleh para peserta khatam.

Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Tahun 9, manakala Dikir Marhaban pula disampaikan oleh pelajar-pelajar lelaki Tahun 9. Bacaan Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Md. Danish Isyraf Adaniy bin Zulastry, pelajar Tahun 11SC3.

Acara turut diselajurkan dengan upacara merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta Khatam Al-Quran sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan usaha mereka. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Awang Mohammad Wazzirul Wafaudin bin Esa.