Kesalinghubungan digital, pembangunan bakat tempatan diperkasa

19 Nov 2026 - 8:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 18 November. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam (NBD), pada hari ini berkenan menerima mengadap Corporate Senior Vice President and Huawei Vice Chairman of Subsidiaries Board Resource Bureau, Mr. Simon Lin Baifeng, di Grand Hyatt Shenzhen, Shenzhen, Republik Rakyat China.

Semasa perjumpaan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Mr. Simon Lin Baifeng membincangkan sumbangan Huawei terhadap pembangunan digital NBD sejak sekian lama, termasuk dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, meningkatkan kesalinghubungan digital serta menyokong pembangunan bakat tempatan, selaras dengan aspirasi Digital Brunei 2030.

Duli Yang Teramat Mulia dan Mr. Simon Lin Baifeng juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai peluang untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu dan inovasi digital, termasuk potensi penggunaannya dalam pelbagai sektor serta inisiatif untuk meningkatkan keupayaan dan kepakaran tempatan.

Majlis Mengadap tersebut turut mengesahkan semula komitmen berterusan Huawei terhadap transformasi digital NBD serta membuka peluang untuk meneroka kerjasama pada masa hadapan dalam memajukan pembangunan teknologi negara.