Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali
Foto : Mohammad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Delegasi daripada Negara Brunei Darussalam (NBD), Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura bagi Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026. Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Istana Nurul Iman, petang tadi.
Rombongan Ketua-ketua Delegasi yang hadir terdiri daripada Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syar’ie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Haji Mohd. Amran bin Haji Mat Zain; Ketua Muda / Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia, Dr. H. Yasardin S.H., M. Hum. dan Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura, Yang Amat Arif Dr. Irwan Hadi bin Mohd. Shuhaimy.
Turut hadir menyertai rombongan tersebut ialah Ketua Hakim Syar’ie NBD, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah NBD, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhammad; Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah NBD, Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-ketua Delegasi berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu kehakiman dan perundangan Syariah semasa di rantau Nusantara.
Ketua-ketua Delegasi berada di negara ini bagi menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026 dan seterusnya Mesyuarat Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah yang berlangsung bermula 6 hingga 8 Oktober 2026 di Bandar Seri Begawan.