Resolusi perkukuh institusi kehakiman syariah hadapi perkembangan teknologi

8 Okt 2026 - 6:37am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Rabu, 7 Oktober. - Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4, Tahun 2026, telah melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Penutup. Persidangan berkenaan juga telah berjaya menghasilkan sebanyak enam resolusi yang merangkumi beberapa aspek utama berkaitan pengukuhan kehakiman syariah dalam menghadapi era digital dan Kecerdasan Buatan (AI).

Hadir menyempurnakan Majlis Penutup persidangan berkenaan, Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4, Tahun 2026.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari di The Rizqun International Hotel, di sini, mengetengahkan tema 'Kehakiman Syariah Nusantara Dalam Era AI : Cabaran, Etika dan Hala Tuju Kehakiman Syariah' yang menjadi wadah bagi para hakim, pegawai kehakiman, ahli akademik dan pengamal undang-undang syariah dari rantau Nusantara untuk bertukar pandangan, pengalaman serta amalan terbaik dalam menghadapi perkembangan teknologi AI dalam sistem kehakiman.

Sepanjang persidangan, pelbagai isu dan cabaran berkaitan potensi penggunaan AI dalam menyokong sistem kehakiman telah dibincangkan, khususnya dalam memastikan penggunaannya dilaksanakan secara beretika, bertanggungjawab serta selaras dengan prinsip syariah dan nilai-nilai keadilan.

Perbincangan turut menekankan bahawa kemajuan teknologi hendaklah dilihat sebagai instrumen yang dapat memperkukuh kecekapan penyampaian keadilan dan bukannya menggantikan pertimbangan serta tanggungjawab hakim sebagai pemegang amanah dalam menegakkan keadilan.

Pembentangan resolusi persidangan telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar, yang turut mencerminkan kesepakatan para peserta untuk terus memperkasa institusi kehakiman Syariah agar kekal relevan, berwibawa dan responsif terhadap perubahan zaman, tanpa menjejaskan prinsip asas serta Maqasid Syariah yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan keadilan

Resolusi berkenaan antaranya mengiktiraf AI sebagai alat sokongan syariah, dengan mengekalkan hakim sebagai pembuat keputusan utama yang bertanggungjawab terhadap penentuan fakta, penilaian bukti, ijtihad dan keputusan kehakiman berdasarkan undang-undang, prinsip syariah serta pertimbangan manusia.

Selain itu, menjadikan Maqasid Syariah dan nilai-nilai Islam sebagai panduan utama dalam pembangunan, penilaian dan penerapan AI, dengan berteraskan prinsip Al-‘Adl (keadilan), Mas'uliyyah (akauntabiliti) dan Tabayyun (verifikasi fakta) dan mewujudkan kerangka perundangan, tadbir urus dan etika penggunaan AI yang jelas serta berasaskan risiko, termasuk melalui pindaan atau penggubalan undang-undang, peraturan, kod etika dan arahan amalan.

Resolusi berkenaan juga menekankan kepentingan memastikan ketepatan, kesahihan dan kerahsiaan maklumat kehakiman melalui pengesahan dan semakan yang sewajarnya, di samping melindungi data serta maklumat sulit daripada penyalahgunaan, manipulasi dan kebocoran.

Seterusnya, memperkukuhkan kerjasama dan perkongsian pengetahuan antara Mahkamah Syariah, universiti dan institusi-institusi berkaitan, termasuk perkongsian pengalaman dan amalan terbaik, dan mewujudkan jaringan strategik antara negara-negara Nusantara (Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura)melalui perkongsian ilmu, pengalaman, teknologi, dan penyelidikan AI serta membangun pangkalan data hukum dan penghakiman rentas Nusantara dengan tetap menghormati kedaulatan, bidang kuasa, dan autoriti perundangan setiap negara anggota.

Resolusi berkenaan diharap menjadi panduan dan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama kehakiman syariah di rantau Nusantara, meningkatkan kesiapsiagaan institusi kehakiman dalam menghadapi perkembangan teknologi serta memastikan penerapan AI dalam bidang kehakiman sentiasa berpandukan prinsip keadilan, integriti, amanah, ketelusan dan etika syariah.

Persidangan berkenaan juga diharap dapat membuka ruang yang lebih luas bagi perkongsian ilmu, penyelidikan dan pengalaman antara institusi kehakiman syariah di rantau Nusantara, khususnya dalam meneroka pendekatan yang bersesuaian bagi menghadapi perkembangan AI dan transformasi digital dalam sistem kehakiman syariah.

Dengan berakhirnya persidangan berkenaan, Resolusi Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4, Tahun 2026, yang dihasilkan diharap menjadi salah satu landasan penting dalam memperkukuh hala tuju bersama kehakiman syariah Nusantara ke arah masa depan yang lebih dinamik, berintegriti dan berteraskan keadilan.

Teknologi akan terus berubah. Dunia akan terus bergerak. Namun amanah menegakkan keadilan tidak akan pernah berubah. Itulah tekad yang dibawa pulang daripada Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4, Tahun 2026, melangkah bersama kemajuan, berpandukan syariah, demi masa depan keadilan.