Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan pada petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Presiden Islamic Development Bank (IsDB), Tuan Yang Terutama Dr. Muhammad Al-Jasser.
Kunjungan hormat berkenaan diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.
Kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Islamic Development Bank (IsDB) dan memupuk hubungan dua hala yang lebih erat.
Selain itu, membuka ruang untuk bertukar pandangan mengenai inisiatif yang memberi manfaat kepada pembangunan umat Islam sambil menzahirkan semangat persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak dalam suasana mesra.
Turut mengiringi ialah Ketua IsDB Centre of Excellence di Kuala Lumpur, Datuk Amer Bukvic; Pengarah di IsDB Regional Hub, Jakarta, Mr. Samer Elsawi; Lead Protocol and Outreach Specialist, Ms. Nora Adel M Mozzin; dan Country Economist, IsDB RH Jakarta, Dr. Ali Fallahi.